
MIRI: Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man, menjemput seluruh warga Miri untuk bersama-sama memeriahkan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2026 Parlimen Miri yang akan diadakan 18 Februari ini.
Majlis tersebut dijadualkan berlangsung dari 5.00 petang hingga 8.00 malam di Musical Corridor 2, Eastwood Valley Golf & Country Club.
Menurut Chiew, penganjuran rumah terbuka itu merupakan platform penting untuk merapatkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di bandar raya ini.
“Rumah terbuka ini bukan sahaja untuk meraikan Tahun Baharu Cina, malah menjadi ruang untuk kita bertemu, beramah mesra dan memperkukuhkan lagi persefahaman serta perpaduan dalam komuniti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sambutan berkenaan terbuka kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama, selaras dengan semangat keharmonian yang menjadi kekuatan rakyat Sarawak.
Tambahnya, kehadiran masyarakat bersama keluarga, sahabat dan jiran tetangga akan menyerlahkan lagi semangat kebersamaan serta mencerminkan perpaduan yang kukuh dalam kalangan warga Miri.
Sehubungan itu, Chiew berharap orang ramai dapat meluangkan masa untuk hadir dan bersama-sama menyemarakkan sambutan dalam suasana penuh muhibah dan kegembiraan.
Oleh Liong Chai Ling.