
ENGKILILI: Kepelbagaian kaum dan budaya yang diraikan secara bersama di Sarawak terus menjadi benteng utama dalam memperkukuh perpaduan nasional.
Semangat ini jelas terpancar dalam kemeriahan sambutan perayaan Tahun Baharu Cina 2026 yang berlangsung di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Engkilili, hari ini.
Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi berkata, kehadiran masyarakat daripada pelbagai latar belakang etnik dalam majlis tersebut membuktikan bahawa perbezaan budaya bukanlah penghalang, sebaliknya merupakan aset keharmonian yang unik di kawasan luar bandar seperti Engkilili.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan majlis tersebut, yang turut menyatukan penduduk setempat dalam suasana penuh muhibah.
Menurutnya, tradisi kunjung-mengunjung dan meraikan perayaan kaum lain perlu terus dipertahankan demi kelestarian integrasi nasional yang menjadi identiti rakyat Sarawak selama ini.
Dalam majlis yang sama, Roy Angau turut menzahirkan sokongan terhadap pembangunan pendidikan dengan menyampaikan sumbangan berjumlah RM20,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SJKC Chung Hua Engkilili.

Dana tersebut bertujuan menyokong usaha memperkasa kemudahan infrastruktur serta meningkatkan kualiti pembelajaran murid di sekolah berkenaan.
Suasana sambutan semakin meriah dengan upacara pemberian angpau kepada para guru, staf, dan murid. Selain itu, pemberian buah lokam turut dilakukan sebagai simbol kemewahan dan kesejahteraan, yang merupakan sumbangan tulus daripada Pengerusi PIBG dan Lembaga Pengurusan Sekolah (LPS) bersama barisan Ahli Jawatankuasa kedua-dua badan tersebut.
Kemuncak acara diserikan dengan persembahan bertenaga tarian singa dan naga yang memukau para hadirin. Menariknya, persembahan kebudayaan ini merupakan tajaan khas daripada barisan alumni sekolah, yang menunjukkan semangat kebersamaan dan rasa tanggungjawab bekas pelajar terhadap sekolah alma mater mereka.
Adalah diharapkan agar sambutan seperti ini bukan sekadar menjadi acara tahunan, malah terus menjadi pemangkin kepada pengukuhan perpaduan, keharmonian, dan semangat persaudaraan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum, khususnya di Daerah Kecil Engkilili dan Lubok Antu secara keseluruhannya.
Turut hadir menyerikan majlis ialah Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Kua Jack Seng; Guru Besar SJKC Chung Hua Engkilili, Voon Yik Kuan; Pengerusi LPS Sekolah Aliran Cina Bahagian Betong-Sri Aman, Temenggong Kueh Aik Seng; Pengerusi LPS, Mary Sim Kheng Ling dan Setiausaha Majlis Daerah Lubok Antu, Ting Tiew Lik.
Oleh Adi Safarman