KOTA SAMARAHAN: Sebanyak 82 kenderaan dan 91 individu diperiksa dalam Op Bersepadu Dalaman yang dilaksanakan di Jalan Datuk Mohd Musa, di sini, hari ini.
Operasi itu dilaksanakan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan.
Hasil operasi, sebanyak tujuh saman PDRM (K) 257 dikeluarkan kepada pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan.
Dalam operasi sama, lima individu turut menjalani saringan berkaitan narkotik menggunakan alat pengesan dadah segera (Instant Visual Drug Detector).
Bagaimanapun, hasil saringan mendapati kesemua lima individu berkenaan negatif dadah.
Operasi bersepadu itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan polis untuk memperkukuh penguatkuasaan undang-undang, khususnya dalam memastikan pematuhan peraturan jalan raya serta mencegah penyalahgunaan dadah.
PDRM akan terus mempertingkatkan usaha penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan pengguna jalan raya di Kota Samarahan terus terpelihara.



