PIALA LIGA INGGERIS
JOSE Mourinho percaya pemain diletak dalam bahaya oleh pihak berkuasa bola sepak setelah Tottenham mengalahkan Chelsea 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti untuk mara ke suku akhir Piala Liga Inggeris setelah perlawanan berakhir degan keputusan seri 1-1.
Anak buah Mourinho bermain dalam perlawanan kedua mereka daripada empat perlawanan dalam tempoh lapan hari dalam tiga pertandingan yang berbeza.
Eric Dier merupakan satu-satunya pemain yang dikekalkan dalam pasukan Tottenham yang memulakan perlawanan pada hari Ahad apabila seri 1-1 menentang Newcastle dalam Liga Perdana Inggeris dan pemain pertahanan England itu terus berlari keluar padang untuk berehat dalam babak kedua.
“Jumlah minit bermain berbahaya. Apa yang saya lakukan hari ini dengan Eric Dier sangat berbahaya,” kata Mourinho, menunjukkan bahawa dehidrasi boleh menyebabkan masalah ke atas pemain pertahanan itu.
“Harus dilarang bermain dua perlawanan dalam tempoh 48 jam. Apa yang dilakukan Eric Dier bukan manusia.”
Gol pertama Timo Werner untuk Chelsea menambah kekacauan Mourinho dalam permulaan dominan pasukan Frank Lampard.
Tetapi Erik Lamela pantas menyamakan kedudukan untuk Spurs tujuh minit sebelum tamat dan penjaga gol baru Chelsea, Edouard Mendy tidak dapat menghalang sepakan penalti Dier, Lamela, Pierre-Emile Hojbjerg, Lucas Moura dan Harry Kane.
Tammy Abraham, Cesar Azpilicueta, Jorginho dan Emerson juga menyempurnakan sepakan penalti mereka dengan sembilan sepakan pertama gagal diselamatkan oleh penjaga gol kedua-dua pasukan.
Tetapi sepakan penalti terakhir Mason Mount terkena tiang.
“Apa-apa sahaja boleh berlaku dalam penentuan sepakan penalti,” kata Lampard.
“Anda tentu mahu kekal dalam pertandingan ini tetapi ada banyak yang disukai. Kami menguasai babak pertama tetapi permainan berubah (dalam babak kedua).”
Mourinho mendakwa jadual perlawanan tidak memberinya pilihan selain mengutamakan perlawanan Liga Europa, Jumaat ini menentang Maccabi Haifa melihat kepada insentif kewangan yang ditawarkan untuk kelab itu.
“Saya berkata kepada para pemain bahawa mereka seharusnya hanya memikirkan permainan ini, tetapi saya harus memikirkan tiga perlawanan,” tambah Mourinho, yang menghadapi satu lagi bekas kelabnya Manchester United dalam Liga Perdana Inggeris pada hari Ahad.
“Saya tidak percaya dalam 48 jam kami bermain pertandingan Eropah. Para pemain itu benar-benar hebat.”
Lampard melakukan lapan perubahan, tetapi Werner merupakan satu-satunya pemain yang dikekalkan ketika seri 3-3 di West Brom pada hari Sabtu . – AFP