
SERIAN: Seorang lelaki warga emas maut selepas kereta yang dipandunya terbabas ke dalam parit dalam satu kemalangan jalan raya di Kampung Lintang Baru, Batu 28 Jalan Kuching–Serian, di sini, petang ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak, Pasukan Keluaran Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan I Zaidel Zailani, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada 2.52 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian dikejarkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, kemalangan tersebut melibatkan kenderaan Proton Saga yang dinaiki tiga individu, iaitu seorang pemandu dan dua penumpang.
“Sebaik tiba di lokasi, didapati kenderaan berkenaan telah terbabas ke dalam parit. Seorang mangsa lelaki warga emas tersepit di tempat duduk pemandu dalam keadaan tidak sedarkan diri, manakala dua lagi penumpang iaitu seorang warga emas dan seorang kanak-kanak mengalami kecederaan tetapi tidak tersepit,” katanya dalam satu kenyataan.
Mangsa yang tersepit dikenal pasti sebagai Then Let Fui, 70 tahun.
Bagaimanapun, lelaki berkenaan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).
Dua mangsa yang cedera telah dibawa ke hospital oleh ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.