
KUCHING: Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Kuching sedang berusaha mengesan ibu kandung atau waris terdekat kepada seorang kanak-kanak yang diletakkan di Pusat Perlindungan Bayi Borneo Medical Centre 3 Februari lalu bagi tujuan tindakan lanjut dan urusan kebajikan.
Kanak-kanak tersebut ditemui pada 7.24 pagi dalam keadaan berbalut sehelai tuala berwarna coklat bersama sekeping nota tertera nama Aiden Isaac, 3 Februari 2026, 0724hrs, IBAN dan Kristian.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Kuching, kehadiran ibu kandung atau waris adalah penting bagi membantu proses pendaftaran sijil kelahiran untuk penentuan kewarganegaraan serta menilai bentuk penjagaan atau penempatan yang sesuai demi kepentingan terbaik kanak-kanak berkenaan.

Jabatan itu turut memberi jaminan bahawa kerahsiaan ibu kandung atau waris yang tampil akan dipelihara sepenuhnya.
Sehubungan itu, ibu kandung atau waris sah diminta tampil menghubungi Pelindung, Norazman Abdul Rahim di talian 082-507111 atau 082-507999 atau melalui emel norazmanrahim@jkm.gov.my.
Mereka juga boleh hadir sendiri ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Kuching bagi urusan lanjut.
Kenyataan media berkenaan telah mendapat kebenaran Mahkamah Bagi Kanak-Kanak Kuching selaras dengan peruntukan Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001.

Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Kuching dalam pada itu merakamkan penghargaan atas kerjasama semua pihak dalam membantu mengesan ibu kandung atau waris kanak-kanak tersebut demi memastikan kebajikan serta masa depannya terus terpelihara.
Oleh Adele Rissa