
PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak menetapkan kerja-kerja naik taraf dan baik pulih Stadium Sarawak mesti disiapkan sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum temasya Sukan Asia Tenggara 2027 bermula 18 hingga 29 September tahun depan bagi membolehkan ujian percubaan dilaksanakan lebih awal.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, langkah itu penting bagi memastikan semua fasiliti berada dalam keadaan terbaik sebelum temasya bermula.
“Kita tidak mahu projek ini siap sebulan dua sebelum temasya. Sasaran kita adalah siap sekitar Jun supaya ada tempoh tiga bulan untuk ujian percubaan dan mengenal pasti sebarang kelemahan,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan tapak projek naik taraf dan baik pulih Stadium Sarawak, di sini, hari ini.

Menurutnya, ujian percubaan itu bukan sahaja melibatkan Stadium Sarawak, malah turut melibatkan fasiliti sukan lain yang dinaik taraf bagi temasya berkenaan.
Projek bernilai RM184,321,805 itu dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak bagi pihak Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan dengan tempoh kontrak 12 bulan bermula 30 Januari ini dan dijadual siap pada 29 Januari depan.
Kontraktor utama yang dilantik ialah Hartanah Construction Sdn Bhd manakala Jurutera Perunding Kenyalang Sdn Bhd bertindak sebagai perunding utama kejuruteraan awam dan struktur.
Antara skop utama projek termasuk penggantian bumbung serta struktur kekuda, penggantian keseluruhan tempat duduk kepada jenis boleh lipat, kerja pembaikan struktur, naik taraf teres tempat duduk, pembinaan pintu masuk utama baharu, kerja naik taraf seni bina dan dalaman serta kerja awam dan landskap.

Abdul Karim berkata, reka bentuk baharu akan mengubah sepenuhnya wajah luar stadium termasuk penyediaan pintu masuk utama yang lebih megah bagi menyambut ketibaan tetamu kenamaan.
Beliau menambah, kapasiti 40,000 tempat duduk disifatkan mencukupi untuk menampung keperluan di Kuching dan kawasan sekitarnya.
Selain Stadium Sarawak, beberapa fasiliti lain turut dinaik taraf sebagai persiapan menjadi tuan rumah bersama Sukan Asia Tenggara 2027, termasuk Pusat Akuatik, padang kriket, lapang sasar memanah, lapang sasar menembak, gelanggang petanque, gelanggang boling padang, gelanggang tenis, Pusat Wushu dan Stadium Perpaduan.

Bagi lapang sasar menembak, penambahan kemudahan acara menembak sasaran terbang akan melibatkan pengambilan tanah bersebelahan sebelum dinaik taraf sepenuhnya.
Beliau yakin dengan perancangan rapi serta pelaksanaan awal ujian percubaan, Sarawak mampu memastikan semua fasiliti berada pada tahap terbaik sebelum temasya bermula.
Oleh Shahrul Qaizat