
KUCHING: Michael Kong Feng Nian, Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen, memberi maklum balas terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Padawan (MPP).
Beliau menjelaskan bahawa pelekat pintu sempena Tahun Baharu Cina yang dipamerkan oleh peniaga di Pasar Batu 7 bukanlah bahan kempen politik.
“Menurut beliau, bahan yang ditampal oleh para peniaga adalah hiasan perayaan yang memaparkan ucapan Tahun Baharu Cina dan tidak bertujuan mempengaruhi sokongan orang ramai terhadap mana-mana pihak atau organisasi.
“Secara umum, bahan politik merujuk kepada kandungan yang direka untuk mempengaruhi sokongan awam terhadap individu, mana-mana pihak atau organisasi.
“Pelekat pintu berkenaan hanyalah ucapan perayaan sempena Tahun Baharu Cina dan seumpama bahan perayaan yang diedarkan oleh MPP atau oleh Wilfred Yap yang kini turut dipamerkan di Pasar Batu 7,” katanya.
Beliau berkata sekiranya MPP mentafsirkan bahan yang mempunyai logo sebagai bahan politik, maka tafsiran tersebut perlu dilaksanakan secara konsisten terhadap semua pihak.
“Undang-undang dan penguatkuasaannya hendaklah dilaksanakan secara adil dan saksama kepada semua,” katanya.
Kong turut menyentuh kenyataan MPP bahawa pihaknya telah bertindak bagi memastikan sikap berkecuali dengan menanggalkan bahan parti politik lain serta iklan pemberi pinjaman wang haram.
Beliau memaklumkan bahawa hasil lawatannya ke Pasar Batu 7 mendapati masih terdapat bahan dan iklan tertentu yang dipamerkan.
“Perkara ini boleh disahkan sendiri oleh orang awam. Justeru, adalah penting agar penguatkuasaan dilaksanakan secara telus, adil dan konsisten bagi mengelakkan sebarang persepsi mengenai penguatkuasaan terpilih,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa pasar awam merupakan ruang komuniti bersama yang berkhidmat untuk rakyat dan perlu diurus secara saksama serta berkecuali.
Kong turut menyatakan bahawa susulan kejadian termasuk tindakan yang diambil susulan aduan telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.
“Pada asasnya, para peniaga hanya merasakan hiasan Tahun Baharu Cina tidak mencukupi dan mahu menambah suasana perayaan di pasar. Adalah dukacita apabila satu usaha yang bermula sebagai semangat perayaan akhirnya menjadi isu kontroversi,” katanya.
Kong berharap MPP akan terus menzahirkan prinsip berkecuali melalui tindakan serta memastikan setiap keputusan penguatkuasaan berpandukan peraturan yang ditetapkan tanpa dipengaruhi tekanan luar.
“Tanggungjawab Majlis adalah untuk berkhidmat kepada rakyat secara adil dan saksama. Saya yakin melalui komunikasi terbuka dan pelaksanaan peraturan yang konsisten, perkara ini dapat diselesaikan secara konstruktif demi kepentingan masyarakat,” katanya.
Oleh Connie Chieng