PULAU BRUIT, 30 Oktober: Penantian panjang penduduk Pulau Bruit untuk menikmati kemudahan perhubungan darat yang lebih baik akhirnya menjadi kenyataan menerusi pembukaan Jambatan Batang Paloh yang disifatkan sebagai detik bersejarah bagi masyarakat setempat.
Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata, pembukaan jambatan itu bukan sahaja merealisasikan impian penduduk, malah bakal membawa perubahan besar terhadap kehidupan harian serta pembangunan sosioekonomi masyarakat di kawasan berkenaan.
Menurutnya, kemudahan itu membolehkan penduduk merancang perjalanan dengan lebih mudah, selain menjimatkan masa dan kos pengangkutan yang sebelum ini menjadi antara cabaran utama mereka.
“Hari ini merupakan hari yang sangat istimewa dan bermakna, serta detik yang sekian lama dinantikan oleh seluruh penduduk di kawasan ini.
“Dengan pembukaan Jambatan Batang Paloh, ia akan mengubah corak kehidupan masyarakat kerana mereka kini dapat merancang perjalanan dengan lebih mudah, menjimatkan kos dan masa.
“Kemudahan perhubungan yang semakin baik ini sudah tentu akan membantu meningkatkan taraf hidup serta membawa lebih banyak kemajuan dan kemakmuran kepada penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Pra Perasmian Jambatan Batang Paloh yang disempurnakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, hari ini.
Ahmad Johnie berkata, penantian penduduk selama bertahun-tahun akhirnya membuahkan hasil, sekali gus membuktikan kesabaran mereka selama ini tidak sia-sia.
Katanya, pembukaan jambatan berkenaan turut mencerminkan komitmen Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam merealisasikan agenda pembangunan dan menunaikan janji kepada rakyat, khususnya masyarakat luar bandar.
“Suatu ketika dahulu, terdapat pihak yang skeptikal sama ada projek Jambatan Batang Paloh ini mampu direalisasikan.
“Namun, dengan pembukaannya hari ini, segala persepsi dan keraguan tersebut akhirnya terjawab.
“Inilah bukti bahawa kerajaan GPS sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dan memastikan janji yang dibuat dapat ditunaikan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau bagi pihak penduduk kawasan berkenaan merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, atas usaha merealisasikan projek berkenaan.
Beliau turut menghargai kehadiran Douglas Uggah yang menyempurnakan pembukaan jambatan itu, sekali gus menyifatkannya sebagai satu lagi pencapaian penting dalam agenda pembangunan luar bandar Sarawak.
“Kami amat menghargai komitmen kerajaan dalam memastikan penduduk luar bandar turut menikmati kemudahan infrastruktur yang lebih baik demi meningkatkan kesejahteraan hidup mereka,” katanya.
Oleh Akun Giman/Tarani Lanting





