

BINTANGOR: Seramai 20 peserta yang terdiri daripada murid asrama dan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Selidap didedahkan kepada prosedur pengungsian dan langkah pencegahan kebakaran dalam satu latihan bersama Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor pada 8.30 malam tadi.
Ketua BBP Bintangor, Mahmudin Narudin, berkata latihan tersebut adalah sebagai langkah meningkatkan tahap kesiapsiagaan penghuni asrama dalam menghadapi sebarang kemungkinan insiden kebakaran.
“Ia bertujuan memberi pendedahan awal kepada murid serta guru mengenai tindakan yang perlu diambil sekiranya berlaku kecemasan.
“Latihan pengungsian yang dijalankan memberi penekanan kepada pergerakan yang teratur, pematuhan arahan serta kepentingan berkumpul di kawasan selamat yang telah ditetapkan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, selain latihan pengungsian, sesi ceramah kesedaran dan pencegahan kebakaran turut disampaikan bagi meningkatkan kefahaman peserta mengenai punca kebakaran serta langkah-langkah pencegahan awal.
“Latihan tersebut dikendalikan oleh Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Mijan Pamin bersama dua anggota bomba yang memastikan setiap prosedur dilaksanakan mengikut garis panduan keselamatan.
“Ia penting bagi membentuk budaya keselamatan dalam kalangan pelajar asrama agar mereka tidak panik dan mampu bertindak secara sistematik sekiranya berdepan situasi sebenar.
“Secara keseluruhannya, latihan berjalan dengan lancar dan jayanya tanpa sebarang insiden yang tidak diingini berlaku,” katanya.
Oleh Earl Anek