
SARATOK: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri merakamkan ucapan tahniah kepada pasukan petanque Zon Barat atas kejayaan cemerlang meraih tiga pingat emas, satu perak dan dua gangsa, sekali gus muncul juara keseluruhan pada temasya Sukan Sarawak (SUKSAR) IV 2026, baru-baru ini.
Pingat emas pertama Zon Barat disumbangkan menerusi acara Triple Lelaki hasil gandingan Amzar Roslan, Muhammad Harraz Syazwi Lokman dan Watziq Zulfiqrie Dahlan.
Kejayaan diteruskan dengan emas kedua dalam acara Triple Perempuan oleh Khaireen Kasim, Nur Shahira Ismail dan Nurul Batrisyia Zool Fadzli, manakala emas ketiga diperoleh melalui perseorangan perempuan menerusi Fadzlin Ashiqin Radzuan.
Sementara itu, pingat perak diraih dalam kategori Double Perempuan oleh gandingan Putri Alya Adriana Mohd Nazzuruddin dan Sharifah Ilya Addreyana Wan Deros.


Dua pingat gangsa pula disumbangkan menerusi perseorangan lelaki oleh Hairulfikriey Ramlee serta Double Lelaki hasil gandingan Abang Muhamad Razique Fikri Abang Rosni dan Syed Ahmad Afzan Hafiz Wan Eriwan.
Mohamad Duri berkata, kejayaan tersebut menjadi lebih bermakna apabila kesemua atlet lelaki yang memenangi pingat merupakan atlet dari Pusat Cemerlang (PC) Saratok.
Menurutnya, pencapaian itu membuktikan keberkesanan pembangunan sukan yang dilaksanakan secara berterusan di daerah berkenaan.
“Syabas dan tahniah kepada pasukan petanque Zon Barat kerana berjaya membawa pulang tiga emas, satu perak dan dua gangsa, sekali gus muncul juara keseluruhan pada SUKSAR IV 2026.
“Lebih membanggakan, semua atlet petanque lelaki adalah daripada PC Saratok,” katanya ketika dihubungi, hari ini.


Beliau turut memaklumkan telah menyalurkan bantuan kewangan bagi menyokong persiapan latihan sehingga penyertaan atlet di SUKSAR, khususnya membabitkan atlet dari Pusat Cemerlang Saratok.
Menurutnya, Saratok sememangnya dikenali sebagai daerah yang melahirkan ramai atlet berpotensi dalam pelbagai cabang sukan termasuk olahraga, tinju, sepak takraw dan petanque, malah ada yang mewakili negara ke peringkat antarabangsa seperti Sukan SEA.
Tambah beliau, kebangkitan sukan berbasikal di Saratok turut menyerlah apabila atlet dari Kampung Melango, Nur Ain Ramadhania Abdullah, ditabalkan sebagai Olahragawati Harapan SUKSAR IV 2026, sekali gus mengharumkan nama daerah itu.
Dalam perkembangan sama, Mohamad Duri menegaskan usaha melahirkan lebih ramai atlet berprestasi tinggi perlu diteruskan dengan penglibatan menyeluruh pelbagai pihak termasuk persatuan, kelab dan badan bukan kerajaan (NGO).


Bagi sukan petanque, katanya, pembangunan bakat muda sebagai pelapis harus diperkukuh secara berterusan, antaranya melalui pembinaan dan penaiktarafan kemudahan sukan.
“Usaha ini dibuktikan dengan pembinaan gelanggang petanque di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Kupang serta penaiktarafan Arena Petanque Saratok termasuk penukaran lampu dan gelanggang, yang dilaksanakan menggunakan peruntukan kerajaan Sarawak,” katanya.
Sementara itu, seramai lapan atlet petanque Zon Barat telah disenaraikan dalam senarai panjang Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor dan akan menjalani proses pemilihan akhir di Santubong pada esok dan lusa.
Oleh Adi Safarman