
KOTA KINABALU: Empat pegawai sebuah badan berkanun Persekutuan dan dua pekerja agensi pelancongan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah malam tadi, bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu tiket penerbangan bernilai kira-kira RM1.3 juta.
Menurut sumber, keenam-enam suspek terdiri daripada dua lelaki dan empat wanita berusia lingkungan 30-an hingga 50-an itu ditahan kira-kira 9.30 malam di pejabat SPRM Sabah, ketika hadir memberi keterangan.
Penahanan tersebut dibuat susulan siasatan terhadap penglibatan mereka dalam mengemukakan tuntutan palsu berkaitan pembelian tiket kapal terbang menggunakan waran perjalanan udara.
“Siasatan awal mendapati butiran penerbangan disyaki telah dipalsukan, manakala tiada tiket penerbangan sebenar dibekalkan oleh syarikat berkenaan kepada pegawai dan kakitangan jabatan tersebut,” menurut sumber itu.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 kerana mengemukakan dokumen yang mengandungi butiran palsu.
“Permohonan reman terhadap kesemua suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa beberapa siri tangkapan susulan dijangka dibuat berdasarkan perkembangan siasatan kes.- Bernama