
BINTANGOR: Seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.
Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering berkata, kira-kira 9.30 malam tadi, sepasukan polis pasukan petugas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong yang menjalankan Ops Tapis menahan suspek di kawasan Bintangor sebelum membawanya ke IPD Meradong untuk tindakan lanjut.
“Hasil saringan ujian air kencing yang dijalankan di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Meradong mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
“Semakan rekod lampau mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod bersabit kesalahan jenayah atau dadah sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun.
Beliau menegaskan bahawa pihak polis IPD Meradong memandang serius kesalahan dadah dalam kalangan masyarakat dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk penyalahgunaan bahan terlarang.
“Kami menggesa orang ramai agar menyalurkan maklumat kepada pihak polis berkaitan sebarang kegiatan dadah di Daerah Meradong.
“Maklumat boleh disalurkan ke Balai Polis Bintangor di talian 084-693222,” katanya.
Oleh Earl Anek