
MUKAH: Seramai 44 pelajar Diploma Perakaunan, Jabatan Perdagangan, Politeknik Mukah Sarawak (PMU) menyertai Program Khidmat Bakti Pelajar yang dilaksanakan di Jabatan Kehakiman Syariah Bahagian Mukah dan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Mukah, baru-baru ini.
Penganjuran program tersebut bertujuan memupuk nilai kepimpinan, keprihatinan sosial serta rasa tanggungjawab terhadap kebersihan dan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan pelajar.
Ketua Program Diploma Perakaunan Politeknik Mukah, Nur-Adibah Raihan Affendy, berkata inisiatif itu juga memberi peluang kepada peserta untuk memperoleh pengalaman secara langsung melalui penglibatan dalam aktiviti kebajikan masyarakat.
“Program seumpama ini merupakan platform berkesan dalam membentuk sahsiah pelajar secara holistik, di samping meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan semangat tolong-menolong dan tanggungjawab sosial,” kata dalam sebuah kenyataan.

Sementara itu, Pengarah Program, Nurul Fatihah Ahmad, menzahirkan rasa syukur atas kelancaran pelaksanaan program yang bermula seawal 7.30 pagi dengan kerjasama pensyarah serta para pelajar.
Antara aktiviti yang dijalankan ialah gotong-royong membersihkan kawasan bangunan JAIS dan Jabatan Kehakiman Syariah Bahagian Mukah.
Penglibatan pelajar dari Semester Dua hingga Semester Lima itu diharap dapat memperkukuh hubungan antara PMU dan agensi kerajaan, selain menyemai semangat kerjasama dalam komuniti setempat serta membuka ruang kepada kolaborasi yang lebih erat pada masa hadapan. Program berkenaan turut diserikan dengan kehadiran Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Bahagian Mukah, Nur Azhar Abdullah, yang meluangkan masa beramah mesra bersama para pelajar serta menyampaikan sokongan terhadap penglibatan golongan muda dalam aktiviti kemasyarakatan.