
LIVERPOOL: Pengurus Liverpool, Arne Slot menegaskan pasukannya menunjukkan peningkatan ketara, meskipun keputusan perlawanan tidak mencerminkan perkembangan itu, selepas kekalahan dramatik 2-1 kepada Manchester City yang memberi satu lagi tamparan kepada harapan mereka untuk layak ke Liga Juara-Juara.
Juara England itu hanya mencatat satu kemenangan daripada tujuh perlawanan Liga Perdana Inggeris pada 2026, menyebabkan mereka jatuh ke tangga keenam liga dan kini ketinggalan empat mata daripada kelompok lima teratas.
Anak buah Slot berada di landasan untuk meraih kemenangan penting di Anfield hasil sepakan percuma menakjubkan Dominik Szoboszlai.
Namun, Liverpool bolos dua gol pada lewat permainan dan kehilangan Szoboszlai akibat kad merah yang disifatkan sebagai tidak perlu dalam penamat perlawanan yang penuh kekecohan.
“Perlawanan ini tidak boleh dibandingkan dengan tiga atau empat bulan lalu. Kami telah meningkat dengan begitu banyak, tetapi kami perlu memperbaiki keputusan,” kata Slot.
“Banyak kali musim ini kami tidak mendapat apa yang saya rasa kami layak, dan ini satu lagi contoh.”
Gol penyamaan Bernardo Silva pada minit ke-84 mencetuskan penamat perlawanan yang mendebarkan.
Liverpool kemudian bolos gol kemenangan pada masa kecederaan buat kali keempat dalam liga musim ini apabila Erling Haaland menyempurnakan sepakan penalti.
Namun drama tidak berakhir di situ apabila satu lagi gol City dibatalkan.
Rayan Cherki melorongkan bola dari garisan tengah ketika penjaga gol Liverpool, Alisson Becker, berada di hadapan untuk membantu mencari gol penyamaan.
Szoboszlai pada awalnya menarik Haaland sebelum penyerang Norway itu membalas dengan tindakan sama bagi menghalang pemain Hungary tersebut daripada mengeluarkan bola.
Akhirnya, kedua-dua pasukan kecewa dengan keputusan pengadil yang membatalkan gol berkenaan dan melayangkan kad merah kepada Szoboszlai, yang akan menyebabkan beliau digantung perlawanan menjelang kunjungan Liverpool ke Sunderland pada Rabu ini.
“Ayuh pengadil, berikan sahaja gol itu dan balik,” kata pengurus City, Pep Guardiola.
Bagaimanapun, Slot berang dengan keputusan yang dibuat lebih awal dalam perlawanan ketika kedudukan masih 0-0.
Marc Guehi hanya dilayangkan kad kuning kerana menarik Mohamed Salah tepat di luar kotak penalti, namun Slot berpendapat pemain yang pernah menjadi sasaran Liverpool itu jelas telah menafikan peluang jaringan.
“Jika ada satu insiden yang patut kita bincangkan, ia adalah ketika Mo Salah berdepan satu lawan satu dengan penjaga gol,” tambah Slot.
“Sesiapa yang pernah datang ke stadium ini dalam tujuh atau lapan tahun kebelakangan tahu itu adalah gol untuk Salah. Sekali lagi, pengadil membuat keputusan yang tidak memihak kepada kami.”
Kemenangan pertama Manchester City di Anfield di hadapan penyokong sejak 2003 itu membolehkan mereka merapatkan jurang kepada enam mata dengan pendahulu liga, Arsenal. – AFP