
LAWAS: Seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun yang juga penjawat awam telah ditahan di kediamannya di kuarters kerajaan di bandar Lawas.
Ketua Polis Daerah Lawas DSP Liong Tindan memberitahu pihak polis telah menerima dua laporan polis daripada dua pengadu wanita menyatakan mereka dicabul oleh rakan sekerja lelaki.
“Laporan diterima pada 30 Januari 2026, pada 5.39 petang dan 2 Februari 2026, pada 9.33 pagi.
Bertindak atas laporan polis yang diterima, pada 1 Februari 2026 kira-kira 2.45 petang, sepasukan polis telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun di kediamannya di kuarters kerajaan di bandar Lawas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Siasatan awal polis mendapati kejadian tersebut berlaku di salah satu jabatan kerajaan di Lawas sejak awal Disember 2025, dan laporan polis dibuat bagi mengelakkan tindakan berterusan oleh suspek.
Pihak polis telah membuka dua kertas siasatan terhadap kes berkenaan dan kes disiasat mengikut seksyen 354 KK. Semakan kesalahan lampau mendapati suspek tidak ada kesalahan lampau.
DSP Liong seterusnya meminta orang ramai supaya tidak menimbulkan spekulasi dan melaporkan kepada pihak polis sekiranya mempunyai maklumat berkaitan kejadian.
Oleh Adeng Idris