JEAKQLEYN YACHO
KUCHING: Seramai 12 pekebun lada di negeri ini telah menerima bantuan Skim Tanaman Baharu Lada dan bantuan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) PRIHATIN pada Majlis penyampaian Insentif Pekebun lada di Lembaga Lada Malaysia, Kuching semalam.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Datuk Dr.Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, bantuan PRE PRIHATIN ini bertujuan membantu pekebun menyelenggara kebun lada matang yang berusia tiga tahun dan ke atas.
Katanya, bantuan ini juga bagi membantu pekebun untuk menggantikan kebun yang tidak lagi produktif untuk di selenggara akibat serangan penyakit dan makhluk perosak.
“Sebanyak RM16.11 juta peruntukan telah disalurkan bagi membantu seramai 30,000 pekebun lada di seluruh Malaysia dengan keluasan yang disasarkan sebanyak 5,370 hektar sepanjang tahun ini.
Beliau berkata, nilai bantuan yang diberikan bagi seorang pekebun adalah berjumlah RM3,000 sehektar (RM1.50 sepokok) yang disalurkan secara one-off pada tahun ini dengan menggunakan sistem baucar yang disediakan oleh MPB.
“Baucar tersebut akan digunakan oleh pekebun untuk membeli sama ada input pertanian, peralatan pertanian ataupun alat selenggara kebun di kedai panel yang dilantik oleh MPB.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Willie Mongin pada Majlis Penyampaian Bantuan Insentif Pekebun Lada di Lembaga Lada Malaysia (MPB), Kuching semalam.
Sementara itu, di bawah Skim Tanaman Baru Lada pula peruntukan sejumlah RM3 juta untuk membangunkan 115 hektar kawasan baharu tanaman lada di seluruh Malaysia turut disalurkan kepada MPB pada tahun ini.
“Bantuan tersebut adalah untuk membantu pekebun baharu yang berminat untuk menceburi tanaman lada; membantu pekebun sedia ada menambah keluasan kawasan tanaman serta membantu pekebun menggantikan kebun yang tidak lagi ekonomi untuk diselenggara akibat serangan penyakit dan perosak,”jelasnya.
“Saya menyarankan kepada Lembaga Lada Malaysia (MPB) agar bantuan dan insentif ini disegerakan dan diselesaikan pelaksanaannya supaya setiap golongan pekebun lada dapat menikmati manfaatnya.
Turut hadir, Setiausaha Bahagian Pembangunan Industri Koko & Lada; Kanagadevi Pachaiappan dan Ketua Pengarah Lada Malaysia (MPB); Stanley Liew Joo Kong pada Majlis Amanat dan Penyampaian Bantuan Insentif Pekebun Lada.