

BINTANGOR: Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Bintangor terus memperkukuh tahap kesiapsiagaan anggota bomba menerusi latihan pengukuhan kawad operasi pemadaman kebakaran yang dilaksanakan di padang kawad balai tersebut, semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin, berkata latihan bertujuan meningkatkan disiplin, koordinasi serta kecekapan anggota dalam menghadapi sebarang situasi kecemasan dan operasi kebakaran.
“Latihan bermula pada 9.30 pagi melibatkan pasukan Alpha BBP Bintangor dan dikendalikan oleh Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Mijan Pamin.
“Seramai enam anggota bomba terlibat dalam latihan ini yang memfokuskan kepada kawad operasi asas bagi memastikan setiap pergerakan pasukan dapat dilaksanakan dengan teratur dan berkesan semasa operasi sebenar,” katanya ketika dihubungi.
Tambahnya, latihan seperti ini akan diteruskan secara berkala sebagai sebahagian daripada usaha berterusan pihaknya dalam mengekalkan tahap profesionalisme dan kesiapsiagaan anggota bomba.
“Alhamdulillah, keseluruhan latihan berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini,” katanya.
Oleh Earl Anek