LAWAS: Sarawak mempunyai masa hadapan yang paling cerah dalam membangunkan sektor tenaga berasaskan hasil bumi dan laut.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Haji Openg memberi bayangan awal bahawa Utara Sarawak akan menjadi nadi pembangunan di negeri ini dalam sektor hidro karbon yang mampu menghasilkan sebanyak 65 peratus daripada simpanan hasil bumi berkenaan di Malaysia.
Bercakap pada Majlis Makan Malam bersama Ketua Menteri Sarawak di Stadium Tertutup Lawas anjuran RECODA malam tadi, beliau menyeru agar rakyat terus memberi kepercayaan dan mandat kepada Gabungan Parti Sarawak (GPSD) dalam memastikan masa hadapan yang lebih gemilang untuk Sarawak dan rakyatnya.
Tambah beliau, pemerkasaan dalam bidang pendidikan juga perlu diberi penekanan serius melalui pembinaan sekolah antarabangsa.
“Ini penting kerana kemampuan menguasai berbagai bahasa antarabangsa akan memudahkan anak-anak Sarawak meneruskan pengajian di luar negara. Dulu sekolah antarabangsa dikenali sebagai sekolah untuk anak-anak orang kaya dan elit.
“Kini kita mahu anak-anak nelayan, petani dapat belajar di sekolah antarabangsa agar mereka mempunyai masa depan yang lebih baik dan mampu memenuhi keperluan tenaga kerja penting di Sarawak,” ujarnya.
Jelas Abang johari lagi, semua ini adalah sejajar dengan hak mutlak Sarawak dalam persetujuan yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia.
Malah, katanya penerokaan sumber minyak dan gas juga adalah sejajar hak mutlak Sarawak dan Kerajaan Sarawak.
“Selain itu, konsep pembangunan yang memberi penekanan daripada peringkat bawah ke atas juga adalah berpaksikan kepada suara dan kehendak rakyat di bawah yang akan dibawa ke atas untuk dilaksanakan.
“Pada masa sama, permuafakatan dalam barisan kepimpinan Sarawak juga menjadi faktor yang meletakkan Sarawak diterajui hasil perkongsian dan permuafakatan antara pemimpinnya. Kini dah tiga tahun 10 bulan, Sarawak tidak bangkrap, walaupun ada orang yang cemburu hingga mengatakan Sarawak akan bangkrap dalam tempoh tiga tahun.
“Apa pun sekarang cukai jualan mampu memberi hasil yang besar dan dalam tempoh lima tahun kita memperoleh RM15 billion kelak. Ini belum termasuk hasil sumber baharu seperti yang kita bayangkan tadi,” tambahnya.
Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hassan merangkap Menteri Pembangunan Bandar & Sumber Asli II dan Menteri Perdagangan Antarabangsa & Industri, Terminal Perindustrian & Pembangunan Usahawan, Sarawak, Datuk Amar Hajah Juma’ani Tuanku Haji Bujang, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datuk Amar Jaul Sameon, Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa & Industri, Terminal Perindustrian & Pembangunan Usahawan, Sarawak Datuk Haji Mohd Naroden Haji Majais, Menteri Muda Pemodenan Pertanian dan Tanah Adat Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Luar Bandar Malaysia Dato Henry Sum Agong, Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia Haji Hasbi Habibollah, Residen Bahagian Limbang Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Ketua Pegawai Eksekutif RECODA Datu Ismawi Ismuni dan kenamaan lainnya.
Oleh Adeng Edrus