
SARIKEI: Semangat juang tinggi dan tekad untuk mengharumkan nama Zon Barat jelas terpancar dalam kalangan atlet muda yang bakal beraksi di Sukan Sarawak (SUKSAR) IV 2026, apabila mereka menyatakan kesediaan untuk memberi persembahan terbaik dalam temasya sukan berprestij peringkat negeri itu.
Walaupun masih berusia belasan tahun, atlet-atlet ini tampil dengan keyakinan dan matlamat yang jelas, sama ada untuk memburu pingat sulung, mempertahankan prestasi cemerlang terdahulu mahupun mencipta sejarah peribadi di pentas SUKSAR yang akan berlangsung di Betong, Sri Aman dan Lubok Antu.
Dalam temu bual bersama Utusan Sarawak, tiga atlet muda dari Zon Barat berkongsi harapan, pengalaman dan sasaran masing-masing menjelang kejohanan yang menjadi medan penting mencungkil bakat sukan Sarawak tersebut.
Atlet sepak takraw, Willis Ivyen Wong, 16, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meradong, berkata SUKSAR IV merupakan penampilan sulung beliau di temasya tersebut dan menjadi pengalaman yang amat bermakna dalam perjalanan sukan beliau.
Menurutnya, meskipun belum pernah meraih kejuaraan besar sebelum ini, beliau mempunyai pengalaman beraksi di peringkat negeri termasuk menyertai Piala Sarawak dan Pertandingan Sepak Takraw Terbuka Betong, di mana pasukannya berjaya meraih tempat ketiga.
“Pengalaman saya bermain sepak takraw, saya pernah menyertai pertandingan Piala Sarawak, tapi mungkin tiada rezeki, tidak memenangi pertandingan tersebut.
“Pertandingan sepak takraw terbuka Betong pun saya ada menyertai dan mendapat tempat ketiga.
“Saya berharap dapat membanggakan jurulatih, rakan sepasukan, ibu bapa serta diri saya sendiri dalam SUKSAR kali ini. Sasaran saya adalah untuk membawa pulang pingat, sekurang-kurangnya pingat gangsa,” katanya.

Sementara itu, atlet bola jaring, Elizabeth Yeong, 16, dari SMK Tinggi Sarikei pula menyatakan keyakinannya untuk membantu pasukan mencapai keputusan terbaik dalam SUKSAR IV 2026.
Katanya, pengalaman menjuarai pertandingan bola jaring anjuran Majlis Sukan Sekolah (MSS) di Sarikei sebelum ini menjadi pembakar semangat untuk mensasarkan kejayaan lebih besar di peringkat SUKSAR.
“Saya mewakili pasukan bola jaring dan sasaran saya adalah untuk menjadi johan.
“Saya harap di SUKSAR kali ini boleh mendapat johan,” katanya.
Bagi atlet petanque, Sharifah Ilya Adreyana Wan Deros, 17, dari SMK Bandar Bintangor, SUKSAR IV bukan sekadar pertandingan, sebaliknya pentas untuk membuktikan kemampuan pasukan petanque Zon Barat dalam acara tersebut.
“Harapan saya untuk SUKSAR kali ini, insya-Allah semua kami dapat pingat emas. Semangat Zon Barat!!” katanya dengan penuh semangat kesukanan.

Ketiga-tiga atlet ini membuktikan bahawa usia muda bukan penghalang untuk menetapkan sasaran tinggi, sebaliknya menjadi pemangkin kepada kesungguhan dan disiplin dalam mengejar kecemerlangan sukan.
Dengan persiapan rapi, sokongan jurulatih dan semangat berpasukan yang kukuh, kehadiran atlet-atlet muda ini diharap mampu menyumbang kepada pencapaian membanggakan kontinjen Zon Barat dalam SUKSAR IV 2026.
Oleh Earl Anek