Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Tindakan tegas terhadap kontraktor lewat siapkan projek KKR – Nanta
  • NASIONAL

Tindakan tegas terhadap kontraktor lewat siapkan projek KKR – Nanta

Utusan Sarawak 5 hours ago
MENTERI Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berucap pada Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) dan Surat Pelantikan Pengarah Projek Pembinaan Penjara Sibu, Sarawak (Reka dan Bina) – Tender Semula di Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya hari ini. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) memberi amaran tindakan tegas, termasuk risiko disenarai hitam, terhadap kontraktor yang gagal menyiapkan projek di bawah kementerian itu mengikut tempoh ditetapkan tanpa alasan munasabah.

Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata kajian dalaman di kementerian itu mendapati 75 peratus daripada kegagalan projek disebabkan oleh faktor pengurusan kontraktor sendiri. 

Beliau berkata pengurusan kontraktor itu termasuk aspek pengurusan projek dan kewangan, pembelian dan menyediakan stok bahan binaan, pengurusan sumber tenaga kerja dan kegagalan pegawai penyelia (SO) menguruskan pembayaran menepati kerja yang telah disahkan dilaksanakan mengikut spesifikasi.

“Kontraktor bertanggung jawab melaksanakan projek dengan penuh amanah kerana setiap sen yang dilaburkan adalah wang rakyat dan negara. 

“Saya tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas sekiranya pelaksanaan projek tidak menepati kontrak dan spesifikasi yang telah ditetapkan,” katanya pada Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) Projek Pembinaan Penjara Sibu, Sarawak, di Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata KKR bagaimanapun tetap berlaku adil kepada kontraktor yang menghadapi masalah khususnya akibat faktor yang tidak dapat dikawal hingga mengganggu kelancaran pelaksanaan projek.

Beliau berkata KKR mempunyai prosedur operasi standard (SOP) ketat membabitkan isu kelewatan siap projek, selaras dengan sasaran kementerian yang mahukan sifar projek sakit atau lewat.

Mengenai projek penjara itu, Nanta berkata ia melibatkan kos RM275.33 juta dengan tempoh pembinaan 36 bulan dan dijangka siap sepenuhnya pada Februari 2029.

Sehubungan itu, beliau berharap projek berkenaan disiapkan tepat pada masanya atau lebih cepat daripada jadual (AOT). 

“Semakin lambat ia siap, semakin lambat rakyat menikmati manfaat projek kerajaan dan dalam hal ini (semakin lambat) mengurangkan kesesakan di penjara Malaysia.

“Cabaran yang saya hendak lontarkan ialah saya mahu projek ini menjadi sebahagian dari kategori projek sifar sakit, sifar tergendala, sifar EOT dan sifar kemalangan di tapak,” katanya.

Nanta berkata projek pembinaan penjara bagi menggantikan penjara sedia ada yang berusia lebih 100 tahun itu mampu mengurangkan kesesakan kapasiti banduan hingga 19 peratus.

Selain itu, projek berkenaan juga akan dapat meningkatkan kesiapsiagaan petugas penjara kepada 75 peratus hasil penyediaan kuarters yang mencukupi dalam kompleks penjara. – Bernama

Continue Reading

Previous: SPRM akan siasat semula kes lama jika ada petunjuk baharu – Azam
Next: AKPS perlu 400 pegawai penyiasat sokong keperluan operasi – Mohd Shuhaily

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.