Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • SUKSAR IV 2026: Atlet Zon Barat ditekankan disiplin dan keyakinan diri
  • SUKAN

SUKSAR IV 2026: Atlet Zon Barat ditekankan disiplin dan keyakinan diri

Utusan Sarawak 6 hours ago
DATO Sri Huang Tiong Sii menyerahkan bendera kontinjen Zon Barat kepada Datu Michael Ronnie Langgong.

SARIKEI: Atlet Zon Barat digesa beraksi dengan mentaliti juara serta mengekalkan disiplin dan keyakinan diri yang tinggi ketika menyertai Sukan Sarawak (SUKSAR) IV 2026, yang akan berlangsung di Betong dan Sri Aman dari 4 hingga 8 Februari 2026.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, yang juga Ahli Parlimen Sarikei serta ADUN Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii, berkata semua atlet dipilih bukan secara kebetulan, tetapi kerana bakat, kesungguhan, dan komitmen tinggi yang terbukti sepanjang proses latihan dan pemilihan.

KETUA pasukan Ping Pong menerima bendera kontinjen Zon Barat daripada Dato’ Sri Huang Tiong Sii.

“Setiap atlet yang berada di sini merupakan duta kepada zon masing-masing, membawa bersama nama keluarga, jurulatih, pasukan serta sokongan padu masyarakat yang sentiasa mendoakan kejayaan anda.

“Perjalanan menuju kejayaan bukanlah mudah. Ia menuntut pengorbanan masa, tenaga, keselesaan dan emosi,” katanya ketika berucap merasmikan majlis pelepasan kontinjen Zon Barat yang diadakan di Dewan Suarah Sarikei, hari ini.

Atlet-atlet yang mewakili kontinjen Zon Barat adalah dari Bahagian Sarikei, Betong dan Sri Aman.

Tambahnya, majlis tersebut bukan sekadar acara rasmi, sebaliknya melambangkan permulaan sebuah perjuangan besar yang menuntut pengorbanan, disiplin serta komitmen tinggi daripada setiap atlet yang terpilih.

PARA atlet Zon Barat bergambar bersama Dato’ Sri Huang Tiong Sii.

“Saya berharap agar semua atlet Zon Barat akan turun ke gelanggang dengan semangat juang yang tinggi, keyakinan diri yang kukuh serta mentaliti seorang juara.

“Bertandinglah dengan penuh disiplin, hormatilah pihak lawan, patuhilah peraturan dan tunjukkan nilai kesukanan yang tinggi.

“Ingatlah bahawa saudara dan saudari bukan sekadar bertanding untuk kemenangan semata-mata, tetapi untuk membuktikan bahawa anak-anak Sarawak mampu berdiri megah dengan bakat, keupayaan dan semangat luar biasa,” katanya.

Tiong Sii turut berharap semua atlet menjaga kesihatan, keselamatan dan disiplin sepanjang kejohanan berlangsung. 

“Jadilah contoh teladan yang membanggakan serta tonjolkan identiti Zon Barat sebagai pasukan yang bersemangat, berdisiplin dan berdaya saing.

“Saya yakin dengan semangat perpaduan, kerja berpasukan dan keazaman yang tinggi, kontinjen Zon Barat mampu melakar pencapaian yang membanggakan dalam SUKSAR IV Tahun 2026.

“Saya mendoakan agar seluruh kontinjen Zon Barat dikurniakan kekuatan, semangat juang dan kejayaan sepanjang temasya sukan ini berlangsung,” katanya lagi.

Turut hadir Residen Sarikei yang juga Ketua Kontinjen Zon Barat, Datu Michael Ronnie Langgong; Residen Betong, Datu Richard Michael Abunawas; dan Residen Sri Aman, Mahra Salleh yang merupakan Penolong Ketua Kontinjen Zon Barat.

Oleh Earl Anek

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous: Ronaldo tidak beraksi untuk Al Nassr di tengah-tengah laporan perselisihan faham dengan kelab
Next: 126 atlet wakili Zon Barat di pentas SUKSAR IV

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.