
KUCHING: Persatuan Seni Mempertahankan Diri Cina Bahagian Kuching (CMAA) memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina 2026 Tahun Kuda dengan penganjuran majlis penzahiran 11 ekor singa baharu pasukan Tarian Naga dan Singa persatuan itu.
Penganjuran majlis tersebut sekali gus menandakan kesinambungan usaha CMAA dalam memelihara serta memperkasa warisan seni budaya tradisional Cina di Sarawak.
Majlis simbolik upacara ‘calit mata singa’ itu telah disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, di Tokong Tua Pek Kong.
Sebanyak 11 ekor singa baharu telah dizahirkan sempena upacara tersebut bagi menyemarakkan sambutan Tahun Baharu Cina serta program kebudayaan sepanjang tahun ini.
Majlis penzahiran singa baharu kali ini mempunyai makna tersendiri kerana turut memperingati ulang tahun ke-52 penubuhan CMAA yang diasaskan pada 1974.


Upacara doa turut diadakan semasa majlis tersebut bagi memohon kesejahteraan, kejayaan dan kemakmuran semua ahli serta kelangsungan persatuan pada masa hadapan.
Majlis berkenaan turut diserikan dengan iringan paluan gendang tradisional yang menambahkan suasana penuh adat dan budaya, sekali gus mencerminkan keunikan warisan masyarakat Cina.


SESI rakam kenangan bersama jemputan khas dan persatuan sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2026.
Turut hadir, ahli-ahli persatuan dan jemputan khas, sekali gus menyemarakkan suasana perayaan dengan iringan bunyi gendang dan paluan tradisional yang melambangkan semangat perpaduan serta kesejahteraan komuniti.Oleh Shikin Mahmud