
NEW YORK: Syarikat angkasa lepas milik Jeff Bezos, Blue Origin, mengumumkan semalam bahawa ia akan menangguhkan sementara penerbangan roket pelancongan angkasanya bagi menumpukan lebih banyak sumber kepada usaha misi ke bulan.
Dalam satu kenyataan, syarikat itu berkata ia akan “menghentikan penerbangan New Shepard tidak kurang daripada dua tahun” bagi “mempercepat lagi pembangunan keupayaan manusia ke bulan.”
“Keputusan ini menunjukkan komitmen Blue Origin terhadap matlamat negara untuk kembali ke Bulan serta mengekalkan kehadiran manusia di sana secara berterusan,” menurut kenyataan itu.
New Shepard ialah roket boleh guna semula yang telah membawa puluhan manusia melintasi Garisan Karman, sempadan antarabangsa yang diiktiraf bagi angkasa lepas.
Bagaimanapun, Blue Origin juga berhasrat bersaing dengan SpaceX milik Elon Musk dalam pasaran penerbangan orbit.

Tahun lalu, syarikat yang diasaskan oleh Jeff Bezos ini berjaya melaksanakan dua penerbangan orbital tanpa kru menggunakan roket New Glenn bersaiz besar, yang jauh lebih berkuasa berbanding New Shepard.
Selain itu, tahun lalu NASA mengumumkan bidaan bagi misi bulan yang dirancang, fasa ketiga program Artemis, bagi bersaing dengan SpaceX yang ketika itu dikatakan “ketinggalan,” menurut ketua NASA.
Blue Origin kini memegang kontrak bagi misi kelima yang dirancang dalam program Artemis bernilai berbilion dolar.
Pentadbiran Presiden AS Donald Trump pada penggal kedua telah memberi tekanan terhadap NASA untuk mempercepatkan usaha menghantar ekspedisi manusia ke bulan, selaras dengan usaha China dalam bidang yang sama. – AFP