
LUBOK ANTU: Statistik jenayah di Daerah Lubok Antu bagi 2025 menunjukkan keadaan yang stabil bagi jenayah indeks, tetapi mencatat peningkatan ketara bagi kes berkaitan narkotik, menurut Ketua Polis Daerah Lubok Antu, DSP Pricha Azin.
Dalam Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Daerah Lubok Antu bagi Bulan Januari 2026 yang berlangsung di Dataran Kawad Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lubok Antu semalam, DSP Pricha berkata, sebanyak 32 kes jenayah indeks direkodkan pada 2025, sama seperti pada 2024, menunjukkan tiada peningkatan kes.
Namun, bagi jenayah narkotik, seramai 100 tangkapan telah dibuat pada 2025 berbanding 33 tangkapan pada 2024, mencatat peningkatan 67 tangkapan atau 203 peratus.
Daripada jumlah tersebut, tiga tangkapan melibatkan kes di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, 13 tangkapan di bawah Seksyen 12(1) ADB 1952 manakala selebihnya, iaitu 84 tangkapan, adalah pengguna dadah di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.
Selain itu, jenayah komersil juga menunjukkan peningkatan dengan 17 kes direkodkan pada 2025 berbanding 11 kes pada 2024.

Semua petunjuk prestasi utama (KPI) Bahagian Siasatan iaitu Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD), Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) dan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah (BSKJD) berjaya dicapai, dengan BSKJD menduduki tempat pertama dari segi kadar pertuduhan di peringkat kontinjen dengan pencapaian 88.2 peratus.
DSP Pricha turut menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian IPD Lubok Antu yang meraih tempat kedua dalam Pertandingan Pengurusan Perumahan Terbaik PDRM Peringkat Pusat 2024 serta kejayaan menumpaskan sindiket curi kabel yang aktif di beberapa daerah di Sarawak.
Dalam bidang sukan pula, IPD Lubok Antu berjaya meraih tempat ketiga Kejohanan Futsal Piala Pesuruhjaya Polis Sarawak 2025 serta menjuarai Kejohanan Badminton dan Bola Tampar anjuran SEB Batang Ai.
Bagi 2026, fokus utama IPD Lubok Antu adalah membanteras isu dadah secara menyeluruh, perjudian dalam talian, dan jenayah siber selaras dengan arahan Pesuruhjaya Polis Sarawak.
Penekanan turut diberikan kepada pengukuhan penguatkuasaan undang-undang, kerjasama antara agensi, serta pelaksanaan program kesedaran masyarakat bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.
DSP Pricha juga menekankan pentingnya integriti dan disiplin dalam kalangan anggota IPD Lubok Antu, mengingatkan bahawa ‘nila setitik, rosak susu sebelanga’.
Majlis turut menyaksikan penyematan pangkat kepada Sarjan Grayson Jangi John French Udin dan penyampaian sijil penghargaan kepada empat Pegawai Rendah Polis atas dedikasi mereka dalam menyelesaikan dua kes jenayah pada bulan Januari ini.
Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Daerah Lubok Antu bagi bulan ini berlangsung lancar dan teratur, menandakan komitmen berterusan pasukan polis dalam memastikan keselamatan masyarakat.
Oleh Adi Safarman