KUCHING: Kemenangan Perikatan Nasional di Sabah telah menunjukkan hakikat bahawa majoriti rakyat Sabah menyokong kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia, kata Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Ali Biju.
Beliau berkata, ia tidak dapat disangkal malah untuk dinafikan bahawa tahap populariti Perdana Menteri yang luar biasa, khusus di kawasan luar bandar yang ditonjolkan dengan panggilan ‘Abah’ diterima dengan baik, mengatasi segala publisiti murah watak-watak politik yang mencari perhatian seketika.
“Apabila wujudnya kerjasama Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan, setiap orang akan mendapat keuntungan dan rakyat Sabah menzahirkan hakikat politik ini melalui pilihan raya.
“Jalinan hubungan antara Putrajaya dan Kota Kinabalu kini terbuka dan rakyat Sabah dapat mengharapkan limpahan inisiatif pembangunan yang mapan tanpa gangguan dan berlangsung dengan lancar,” ujarnya menerusi satu kenyataan media semalam.
Beliau menambah sebagai warganegara Malaysia Timur dan penduduk asli Borneo, beliau dapat merasai lagi mendalami perasaan orang-orang Bumiputera luar bandar di Sabah yang mempunyai hasrat dan harapan serupa, jika tidak sama dengan kita di Sarawak.
“Tiap tempat saya lawati di kerusi DUN Karanaan, Kundasang dan Paginatan, semuanya dalam Parlimen Ranau, saya mendengar hasrat dan harapan pengundi luar bandar; “YB, tolong berikan kami limpahan pembangunan dan ekonomi sebenar.”
“Jelaslah bahawa isu pembangunan ekonomi serta infrasturktur asas masih menjadi tumpuan utama di kawasan pedalaman sabah. Isu kebanjiran pendatang tanpa izin juga telah menjadi tekanan penting,” tegasnya.
Beliau mengatakan dengan segala rasa penuh tanggungjawab atas harapan dan keluhan tersebut, sebagai wakil rakyat Bumiputera Malaysia Timur di peringkat Persekutuan, kini harus memikul tanggungjawab tambahan untuk menjadi titian penghubung kepada rakyat yang telah menaruh harapan mendalam kepada mereka dan memberikan mereka kepercayaan tinggi untuk masa depan yang lebih cerah.
“Kita tidak boleh gagal. Bersama dengan Kerajaan Negeri Perikatan Nasional yang telah diberikan mandat oleh majoriti rakyat Sabah kelmarin, kita harus segera bekerja dan dengan izin Tuhan Yang Maha Esa, bagi melaksanakan impian dan hasrat tanpa kompromi yang diharapkan daripada kita, teguh berpadu di bawah kepimpinan ‘Abah’ Muhyiddin Yassin,” ujar beliau.