ISKANDAR PUTERI: Eco World Development Group Bhd (EcoWorld Malaysia) bersedia bagi memperkenalkan projek terbaharunya di Johor iaitu Eco Botanic 2, yang dimajukan bagi menangani keperluan setiap generasi di Iskandar Puteri.
Pembangunan itu menawarkan rumah bertanah berharga antara RM600,000 hingga RM900,000, yang sesuai untuk keluarga muda dalam kumpulan M40.
Untuk Bumiputera, harga diselaraskan kepada RM520,200 dan RM833,000, kata pemaju itu dalam satu kenyataan semalam.
Dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM1.67 bilion, Eco Botanic 2 seluas 200 ekar (80.9 hektar) dijadual dilancarkan pada suku keempat 2020 dan siap menjelang 2025.
Ia terletak bersebelahan dengan Eco Botanic, perbandaran sulung EcoWorld telah dilancarkan pada 2013, Eco Botanic 2 akan melengkapkan tawaran mewah bagi Eco Botanic dan meluaskan segmen pasaran EcoWorld di Iskandar Puteri, kata syarikat berkenaan.
Pengurus Besar Bahagian EcoWorld, Phan Yan Chan berkata, pemaju mahu memanfaatkan infrastruktur dan kemudahan gaya hidup yang sudah disediakan di Eco Botanic.
“Eco Botanic merupakan pembangunan berpagar yang mewah yang disediakan bagi memenuhi pasaran yang mahu menaik taraf, Eco Botanic 2 pula direka untuk satu lagi sasaran pasaran yang penting iaitu pemilik rumah kali pertama dan kumpulan M40,” katanya.
Bagi Eco Botanic 2, EcoWorld telah menerapkan kesemua elemen yang menjadikan projek terdahulu sangat istimewa dan menjadikannya lebih baik lagi.
Presint pertama Eco Botanic 2 akan menawarkan 600 unit rumah dua tingkat iaitu teres (20 kaki x 65 kaki, 20 kaki x 70 kaki dan 22 kaki x 65 kaki) serta rumah taman “Garden Homes” (30 kaki x 60 kaki) dengan binaan dari 1,701 hingga 2,239 kaki persegi.
Garden Homes adalah produk eksklusif EcoWorld yang menawarkan taman peribadi seluas 8 kaki yang disambungkan ke ruang tamu.
Satu lagi tarikan untuk Eco Botanic 2 adalah penduduk dapat menikmati semua ciri-ciri pembangunan EcoWorld yang telah matang, yang dikembangkan daripada DNA EcoWorld, merangkumi taman-taman berlandskap indah, pagar keselamatan kepada kemudahan gaya hidup dan infrastruktur yang mantap serta komprehensif.
Untuk maklumat lanjut dan pertanyaan, hubungi 07-571 5252 atau layari https://eb2.ecoworld.my atau lawati EcoWorld Gallery @ Eco Botanic City. – Bernama