

ASAJAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak meneruskan rondaan kawasan berisiko banjir susulan Monsun Timur Laut (MTL) di Kampung Sadong Jaya Ulu, di sini, pagi tadi.
Rondaan yang bermula sekitar 8.45 pagi itu dilaksanakan oleh Pasukan Charlie Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Asajaya menggunakan sebuah utiliti Nissan Navara bagi memantau paras air serta memastikan keselamatan penduduk setempat.
Menurut JBPM Sarawak, keadaan cuaca ketika rondaan adalah mendung dengan trend paras air dilaporkan surut. Bagaimanapun, hasil pemantauan mendapati terdapat peningkatan paras air di beberapa kawasan akibat hujan berterusan sejak kebelakangan ini.
Sehubungan itu, anggota yang terlibat telah menasihati penduduk supaya sentiasa berwaspada terhadap sebarang perubahan paras air dan segera menghubungi pihak berkuasa sekiranya memerlukan bantuan kecemasan.
JBPM Sarawak menegaskan rondaan berkala akan diteruskan sebagai langkah kesiapsiagaan bagi mengurangkan risiko serta memastikan keselamatan komuniti, selaras dengan komitmen perkhidmatan yang pantas dan mesra.