
LAWAS: Jabatan dan agensi Persekutuan di Sarawak ditawarkan untuk menyewa bangunan pejabat kerajaan negeri yang kosong dengan kadar sewaan munasabah.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, langkah itu bertujuan mengelakkan jabatan kerajaan menyewa bangunan kedai sebagai pejabat serta menggalakkan penempatan jabatan di bawah satu bumbung bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan secara bersepadu.
“Kita menawarkan bangunan kerajaan negeri yang kosong kepada jabatan dan agensi Persekutuan supaya tiada lagi jabatan kerajaan menyewa bangunan kedai,” katanya ketika ditemui media selepas lawatan kerja ke Lawas, hari ini.

Terdahulu, beliau melawat projek pembinaan Kompleks Pentadbiran Bersepadu (IAC) Lawas, projek perumahan kakitangan kerajaan negeri di Banting dan Sundar, serta Pejabat Daerah Kecil Trusan.
Menurut beliau, semua jabatan kerajaan negeri di Lawas akan mula berpindah ke bangunan IAC 14 tingkat itu pada minggu kedua Februari dan dijangka beroperasi sepenuhnya pada Mac ini. IAC Lawas mampu menempatkan lebih 700 penjawat awam serta dilengkapi kemudahan moden termasuk dewan berkapasiti 1,000 orang.
Kerajaan negeri juga akan membangunkan bangunan kediaman lapan tingkat untuk kakitangan awam di Banting dan Sundar, selain pejabat baharu dan kediaman bagi Pejabat Daerah Trusan.

Usaha ini selaras dengan hasrat kepimpinan negeri di bawah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk menyediakan persekitaran kerja dan kediaman yang kondusif demi perkhidmatan awam yang lebih efisien dan cemerlang.
Turut hadir Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong; Residen Bahagian Limbang, Yunus Tambi; Pegawai Daerah Lawas, Ladin Atok serta ketua-ketua jabatan kerajaan negeri.
Oleh Adeng Edrus