BEREGU lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik menerima suntikan semangat menjelang Olimpik Tokyo 2020 apabila dilantik sebagai duta minuman isotonik nombor satu Malaysia, 100PLUS.
Persetujuan pelantikan pasangan beregu itu bagi tempoh dua tahun dimeterai dalam satu majlis di Akademi Badminton Malaysia (ABM) baru-baru ini.
Ketika ditemui pemberita, Aaron menyifatkan permeteraian perjanjian bersama 100PLUS sebagai motivasi untuk lebih berusaha dan bekerja keras meraih kejayaan pada temasya sukan terbesar dunia itu, tahun depan.
Aaron berkata beliau juga tidak menganggap penajaan daripada 100PLUS itu sebagai satu tekanan untuk membuktikan kejayaan, sebaliknya menjadi inspirasi untuknya menempa nama di pentas dunia.
“Memang saya fikir banyak kali sebelum menerima tawaran itu, tetapi tanpa apa-apa kejohanan sekarang, sokongan daripada 100PLUS ini memberi motivasi pada kami untuk terus bermain badminton.
“Kami berjanji akan beri yang terbaik untuk pastikan kami memperolehi pingat pada kejohanan yang disertai nanti,” katanya.
Selaku duta 100PLUS, gandingan lelaki negara itu akan memakai pakaian rasmi dengan logo jenama produk berkenaan bagi setiap perlawanan.
Dalam pada itu, pengurus pemasaran kanan 100PLUS Leong Wai Yin turut berjanji untuk memberikan insentif kemenangan kepada pemain tajaannya sekiranya mereka berjaya mencipta nama di Sukan Olimpik Tokyo nanti.
“Sudah pasti kita akan beri sesuatu kepada pemain jika menang pingat di Tokyo nanti, namun jumlahnya masih belum diputuskan. Kita akan beri ganjaran untuk pastikan mereka terus bermotivasi,” katanya.-Bernama