
SIBURAN: Lelaki dewasa mengalami kecederaan ringan selepas tersepit dalam kemalangan jalan raya melibatkan tiga kenderaan di Jalan Padawan Batu 22, di sini, tengah hari tadi.
Dalam kejadian kira-kira 12.51 tengah hari itu, kemalangan membabitkan lori lima tan, lori simen dan kereta Perodua Myvi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiba pada 1.04 petang, kira-kira lima kilometer dari balai.
Komander Operasi, PBK I Ahmad Shah berkata, siasatan awal di lokasi mendapati lori lima tan telah melanggar bahagian belakang lori simen sebelum merempuh kereta Perodua Myvi.
“Seorang pemandu lori lima tan didapati tersepit di dalam kenderaan, manakala pemandu lori simen dan pemandu Perodua Myvi masing-masing tidak tersepit serta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, operasi menyelamat dijalankan menggunakan peralatan khas kemalangan jalan raya bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.
“Mangsa berjaya dikeluarkan dan hanya mengalami kecederaan ringan. Rawatan awal telah diberikan oleh pasukan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) sebelum mangsa dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” jelasnya.
Tambahnya, kerja-kerja pembersihan di kawasan kemalangan turut dilakukan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya, sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada 1.40 petang.
Seramai tujuh anggota terlibat dalam operasi dengan kekuatan jentera FRT dan kenderaan EMRS. Keadaan dilaporkan terkawal dan pasukan bomba kemudiannya beredar kembali ke balai.
Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi peraturan keselamatan jalan raya bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.