BANGKOK: Kementerian Ekonomi Digital dan Masyarakat Thailand semalam memfailkan aduan kepada polis jenayah siber terhadap Facebook dan Twitter kerana mengabaikan permintaan untuk menyekat kandungan yang disifatkan menyalahi undang-undang terhadap pemerintahan beraja Thailand.
Menteri Ekonomi Digital dan Masyarakat, Puttipong Punnakanta berkata, kementerian itu telah memberikan amaran kepada dua syarikat media sosial itu untuk memadam kandungan pada 27 Ogos, bagaimanapun mereka terlepas tarikh akhir 15 hari untuk mematuhi perintah mahkamah.
Beliau berkata, Facebook hanya memadam 225 daripada 661 hantaran dan Twitter pula mengeluarkan lima daripada 69 hantaran.
Katanya, tiada tindakan dikenakan terhadap Google Alphabet kerana ia telah mengeluarkan 289 video YouTube seperti yang dinyatakan dalam perintah itu pada Rabu.
“Ini kali pertama kami menggunakan Akta Jenayah Komputer terhadap syarikat media sosial utama kerana tidak memberikan kerjasama penuh (untuk memadam kandungan).
“Tindakan akan diambil mengikut undang-undang Thailand kerana ia berlaku di Thailand,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Di bawah Akta Jenayah Komputer, mereka yang didapati melanggar akta itu akan didenda sehingga 200,000 bath, kemudian 5,000 bath sehari sehingga perintah itu dipatuhi.
Puttipong berkata, kementerian itu akan memfailkan lebih banyak permintaan kepada syarikat media sosial itu untuk memadam lebih banyak item iaitu berkaitan dadah, pornografi serta kritikan terhadap raja.
“Kementerian akan memfailkan lebih banyak permintaan kepada Facebook, Twitter dan Google untuk mengeluarkan 3,000 item daripada platform mereka termasuk 1,748 di Facebook, YouTube (607) dan Twitter (261) serta kira-kira 400 item dari laman web lain,” katanya.
Sementara itu, Puttipong berkata, kementerian itu juga memfailkan aduan berasingan terhadap lima individu termasuk ahli politik dan pemimpin penunjuk perasaan, yang didakwa mengkritik pemerintahan beraja di Facebook dan Twitter semasa tunjuk perasaan besar-besaran antikerajaan di Bangkok hujung minggu lepas. – Bernama