
SIBU: Suri rumah kerugian RM243,300 selepas terpedaya dengan tawaran cabutan bertuah dalam talian yang menjanjikan hadiah wang tunai lumayan.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Polis (ACP) Zulkipli Suhaili, berkata Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu menerima satu laporan polis berhubung kes itu pada 22 Januari lalu.
Menurutnya, mangsa merupakan wanita tempatan berusia dalam lingkungan 40-an yang mendakwa menerima panggilan telefon daripada seorang individu tidak dikenali pada 24 Disember 2025.
“Suspek memaklumkan mangsa telah memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM237,000, namun mangsa diminta membuat bayaran pendahuluan kononnya bagi tujuan mengeluarkan wang hadiah berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Zulkipli berkata, tanpa mengesyaki sebarang perkara mencurigakan, mangsa kemudian membuat beberapa transaksi pemindahan wang ke akaun bank yang diberikan suspek.
“Hasil siasatan mendapati mangsa melakukan 15 transaksi pindahan wang berjumlah keseluruhan RM243,300 ke dalam 15 akaun bank tempatan,” katanya.
Bagaimanapun, selepas semua bayaran dibuat, mangsa tidak menerima sebarang wang hadiah seperti dijanjikan sebelum menyedari dirinya telah ditipu dan tampil membuat laporan polis.
Katanya, polis membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap sebarang tawaran hadiah wang tunai yang diterima melalui panggilan telefon, mesej atau media sosial.
“Jangan sesekali membuat pemindahan wang atau deposit ke akaun peribadi individu yang tidak dikenali serta buat semakan dengan ahli keluarga atau pihak berkuasa sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan,” katanya.
Orang ramai juga disaran menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 untuk mendapatkan nasihat atau maklumat lanjut, selain mengikuti laman Facebook @CyberCrimeAlertRMP dan @JSJKPDRM.
Semakan pengesahan akaun bank dan nombor telefon yang meragukan juga boleh dibuat menerusi laman sesawang ccid.rmp.gov.my/semakmule.
Oleh Tarani Lanting