
KUCHING: Sebanyak 18 kenderaan disita, termasuk empat kenderaan mewah dalam Ops Kenderaan Mewah (Luxury) dan Ops Motosikal yang dilaksanakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak di Jalan Tun Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman Yakub, di sini, semalam.
Daripada jumlah itu, empat kenderaan mewah yang disita melibatkan kenderaan BMW, dua Mercedes-Benz dan Nissan GTR, dengan tindakan sitaan dibuat atas kesalahan cukai jalan tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans.

Sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 1,229 kenderaan pelbagai jenis telah diperiksa dan 322 notis ketidakakuran dikeluarkan.
Antara kesalahan yang dikesan termasuk tiada lesen memandu yang sah, lesen memandu tamat tempoh, penggunaan lampu HID/LED yang tidak dibenarkan, serta pelbagai kesalahan teknikal lain.

JPJ Sarawak menegaskan bahawa operasi penguatkuasaan seumpama ini akan terus dilaksanakan secara berterusan dan berfokus sebagai langkah mendidik serta meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi undang-undang yang ditetapkan.
Usaha ini selaras dengan komitmen JPJ Sarawak dalam memastikan keselamatan, kesejahteraan dan keharmonian pengguna jalan raya sentiasa terjamin demi kepentingan semua lapisan masyarakat.