
ROM: Ribut musim sejuk mengakibatkan kerosakan teruk di pantai Itali dan pulau Mediterranean di negara itu, dengan nilai kerugian susulan kerosakan di Sicily sahaja dianggarkan berjumlah AS$870 juta, menurut pihak berkuasa pada Khamis, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).
Ombak tinggi, angin kuat dan hujan lebat turut menyebabkan kemusnahan di Sardinia. Di tanah besar, Calabria di selatan teruk terjejas selain Pulau Itali yang lebih kecil seperti Lipari dan Stromboli.
Ribut Harry melanda rantau itu sejak beberapa hari kebelakangan ini. Pantai di Sicily ditenggelami air sepenuhnya dan jalan raya di kawasan pantai banjir sehingga paras lutut. Pengusaha restoran melihat tingkap mereka pecah ditiup angin.

Landasan kereta api di sepanjang pantai antara Messina dan Catania rosak disebabkan hakisan tanah. Turut dilaporkan ombak setinggi 16 meter.
Renato Schifani, presiden wilayah Sicily, mengumumkan bantuan kecemasan lebih AS$164 juta.
Pihak berkuasa di Sardinia juga memaklumkan mengenai kerosakan dengan kerugian bernilai beberapa juta euro.
Ribut Harry turut menyebabkan kerosakan teruk di negara Mediterranean lain termasuk Malta manakala sekurang-kurangnya dua orang terbunuh di Greece. – Bernama-dpa