Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Keselamatan pelancong jadi keutamaan, Majlis Bandaraya Miri diminta semak penyenggaraan kemudahan awam
  • Utara
  • WILAYAH

Keselamatan pelancong jadi keutamaan, Majlis Bandaraya Miri diminta semak penyenggaraan kemudahan awam

Utusan Sarawak 5 hours ago
TIMBALAN Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya. Chiew Choon Man.

MIRI: Insiden kecederaan melibatkan seorang pelawat di Taman Awam Miri akibat struktur lantai kayu di kawasan jambatan gantung yang pecah ketika dipijak tidak boleh dipandang ringan dan memerlukan tindakan segera pihak berkuasa tempatan.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Chiew Choon Man berkata, keselamatan warga Miri serta pelancong yang berkunjung ke bandar raya ini merupakan keutamaan, lebih-lebih lagi apabila insiden tersebut berpunca daripada kegagalan penyelenggaraan kemudahan awam.

Menurut beliau, kejadian itu bukan sahaja mengakibatkan kecederaan kepada individu terlibat, malah berpotensi menjejaskan imej Miri sebagai destinasi rekreasi dan pelancongan utama di Sarawak.

“Apabila berlaku kegagalan penyelenggaraan sehingga menyebabkan kecederaan, insiden seperti ini tidak boleh dipandang ringan dan mesti ditangani dengan segera,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sehubungan itu, beliau meminta Majlis Bandaraya Miri (MBM) mengambil tindakan segera termasuk melaksanakan pembaikan serta-merta di kawasan struktur yang rosak, menjalankan pemeriksaan keselamatan menyeluruh terhadap semua struktur kayu dan kemudahan di Taman Awam Miri serta taman-taman awam lain, selain menyediakan pelan pemantauan penyelenggaraan berjadual, khususnya di lokasi yang menerima kehadiran pelawat yang tinggi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Miri menambah, tindakan pantas dan menyeluruh amat penting bagi memastikan standard keselamatan dan penyelenggaraan kemudahan awam sentiasa berada pada tahap tinggi dan dilaksanakan secara berkala.

Dalam pada itu, beliau turut menghargai keprihatinan orang awam yang menyalurkan teguran melalui pelbagai saluran, sama ada rasmi atau tidak rasmi, kerana maklum balas tersebut membantu mempercepatkan tindakan dan mengelakkan risiko kepada pengguna lain.

“Kemudahan awam mesti sentiasa berada dalam keadaan selamat, terjaga dan kondusif, seiring dengan aspirasi menjadikan Miri sebuah bandar yang bersih, selamat dan mesra pelawat,” katanya.

Beliau turut menegaskan komitmen untuk memastikan Miri kekal sebagai destinasi pelancongan yang menarik dan selamat, selaras dengan sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) yang sedang berlangsung.

Oleh Adum Liu

Continue Reading

Previous: Biro Aduan Awam SUPP terus bantu mangsa penipuan
Next: Kerja penurapan sementara dilaksanakan di Jalan Ketitir, Padawan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.