
SARATOK: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik, telah mengarahkan seluruh jentera Parti Demokratik Progresif (PDP) di peringkat cawangan dan unit untuk bergerak aktif sebagai persediaan awal menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-13 (PRN13) akan datang.
Arahan tersebut dikeluarkan susulan Mesyuarat Jawatankuasa PDP Bahagian Krian yang berlangsung dalam suasana harmoni di Pusat Khidmat ADUN N39 Krian, semalam.
Menurut Friday, persediaan rapi perlu dimulakan dari sekarang bagi memastikan khidmat parti kepada rakyat kekal relevan dan berkesan.
Beliau menegaskan bahawa semua cawangan dan unit perlu membuat persediaan rapi serta mula menggerakkan jentera masing-masing bagi memastikan kehadiran parti dirasai di setiap sudut kawasan.
Bagi memperkukuh sokongan, PDP Krian telah merangka pelbagai program dan aktiviti turun padang yang bertujuan mendekati pengundi di peringkat akar umbi secara lebih intim dan berfokus.
Mesyuarat itu turut membincangkan beberapa agenda kritikal termasuk isu politik semasa, pembangunan kawasan, dan persediaan menghadapi Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) serta Perhimpunan Agung Tritahunan (TGA) yang dijadualkan berlangsung pada tahun ini.
Mesyuarat tersebut memperlihatkan kesatuan teguh kepimpinan PDP Krian dengan kehadiran barisan utama jawatankuasa termasuk Timbalan Pengerusi, Kaunselor Pati Gimang, Setiausaha Bahagian, Dom Silang, barisan Naib Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa Bahagian, serta 10 Ketua Cawangan termasuk Ketua Pemuda dan Ketua Wanita Bahagian.
Langkah proaktif PDP Krian ini dilihat sebagai isyarat awal bahawa parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu komited untuk mengekalkan momentum kemenangan dan memastikan aspirasi rakyat terus diperjuangkan.
Oleh Adi Safarman