
BELURU: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh agenda pembangunan sosioekonomi luar bandar menerusi perasmian Pusat Inkubator dan Bimbingan Usahawan (PIBU) Beluru, merupakan pusat ke-25 diwujudkan di seluruh negeri.
PIBU Beluru dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Dr Penguang Manggil bersempena pelancaran Kursus Pembangunan Kontraktor dan Usahawan Berkualiti dan Berdaya Saing, di sini hari ini.
Datuk Dr Penguang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi, berkata penubuhan PIBU Beluru merupakan langkah strategik dan signifikan dalam memperkasa komuniti luar bandar, khususnya bagi membangunkan potensi keusahawanan masyarakat setempat secara lebih tersusun dan mampan.
“Penubuhan PIBU Beluru bukan sahaja menyediakan kemudahan fizikal, malah berperanan sebagai platform bimbingan, pusat rangkaian serta pemudah cara kepada usahawan dan bakal usahawan untuk berkembang secara berdaya saing,” katanya.
Beliau menjelaskan, PIBU Beluru akan berfungsi sebagai pusat sokongan keusahawanan dengan menyediakan kemudahan alamat pendaftaran perniagaan, khidmat bimbingan dan nasihat, selain menjadi hab rangkaian yang menghubungkan usahawan tempatan dengan agensi kerajaan serta sektor swasta.
Menurutnya, inisiatif itu turut bertujuan memastikan lebih ramai usahawan tempatan berdaftar secara sah, sekali gus membuka akses kepada pelbagai bantuan, geran serta skim pembiayaan yang disediakan kerajaan.
Tambah beliau, penubuhan PIBU Beluru adalah selari dengan aspirasi kerajaan Sarawak untuk membangunkan ekonomi luar bandar berasaskan inovasi, keusahawanan dan ekonomi digital.
Seiring dengan itu, pelaksanaan Kursus Pembangunan Kontraktor dan Usahawan Berkualiti dan Berdaya Saing disifatkan amat relevan dalam mendepani cabaran ekonomi semasa, khususnya bagi meningkatkan pengetahuan, kemahiran pengurusan, kecekapan kewangan serta tahap profesionalisme kontraktor dan usahawan tempatan.
“Kursus ini diharap dapat melahirkan lebih ramai kontraktor dan usahawan tempatan yang mampu melaksanakan projek secara berkesan, menepati standard kualiti serta menyumbang secara signifikan kepada pembangunan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Datuk Dr Penguang turut menyatakan keyakinan bahawa PIBU Beluru akan menjadi pemangkin kepada peningkatan pendapatan isi rumah, pembukaan peluang pekerjaan baharu khususnya kepada golongan belia, selain melahirkan usahawan tempatan yang berupaya mengangkat nama Beluru ke peringkat nasional dan antarabangsa.
Beliau mengakhiri ucapannya dengan menyeru semua peserta kursus, usahawan dan kontraktor agar memanfaatkan sepenuhnya peluang yang disediakan melalui PIBU Beluru, di samping terus berusaha, menimba ilmu dan berinovasi demi kemajuan bersama.
PIBU Beluru dilaksanakan oleh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan negeri memperkasa pembangunan ekonomi luar bandar secara inklusif dan berimpak tinggi.