
SARIKEI: Dua anggota bomba telah menjalankan rondaan pemantauan di kawasan Jalan Jubli Mutiara bagi menilai situasi paras air sepanjang tempoh monsun timur laut (MTL) pada tengah semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Arrahman Chik, berkata rondaan yang bermula pada 12.10 tengah malam tersebut merupakan langkah kesiapsiagaan berterusan BBP Sarikei bagi memantau kawasan yang dikenal pasti berisiko banjir.
“Sepanjang pemantauan dijalankan, anggota bomba mendapati paras air sungai di kawasan Jalan Jubli Mutiara menunjukkan trend menurun dan berada dalam keadaan surut.
“Manakala, keadaan cuaca di lokasi semasa rondaan adalah baik,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Tambahnya, rondaan tersebut bertujuan memastikan sebarang perubahan paras air dapat dikesan lebih awal supaya tindakan segera dapat diambil sekiranya diperlukan.
“Setakat rondaan dijalankan di kawasan ini, keadaan paras air adalah terkawal.
“Tiada sebarang panggilan kecemasan berkaitan banjir atau kejadian lain diterima semasa rondaan pemantauan dijalankan,” katanya.
Oleh Earl Anek