
LUBOK ANTU: Seorang lelaki tempatan ditahan oleh pasukan polis dalam Operasi Tapis Khas / Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah yang dijalankan di sekitar kawasan Engkilili dan Lubok Antu, dekat sini kelmarin.
Menurut kenyataan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lubok Antu, suspek ditahan selepas ujian saringan air kencing awal mendapati lelaki tersebut positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, dan tindakan lanjut akan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Sementara itu, seramai 21 pegawai dan anggota polis terlibat dalam operasi bersepadu ini, yang bertujuan meningkatkan keberkesanan pencegahan jenayah serta menguatkuasakan undang-undang di Daerah Lubok Antu.


Sepanjang operasi, pihak polis telah memeriksa 95 kenderaan dan 130 individu, serta mengeluarkan 10 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas, bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjaga.
IPD Lubok Antu menegaskan bahawa operasi bersepadu seperti ini dijalankan secara berterusan, bagi mengekang gejala jenayah dan penyalahgunaan dadah di daerah ini.
Tindakan tegas ini juga bertujuan memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak terlibat dengan kegiatan haram, termasuk penggunaan dan pengedaran dadah.
IPD Lubok Antu menasihatkan masyarakat untuk terus bekerjasama dengan pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah bagi memastikan ketenteraman awam dan keselamatan masyarakat sentiasa terpelihara.
Oleh Adi Safarman