Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • AirBorneo sasar pengembangan global selepas 2029
  • TEMPATAN

AirBorneo sasar pengembangan global selepas 2029

Utusan Sarawak 6 hours ago
DATO Sri Abdul Karim Rahman Hamzah ketika sidang media selepas kunjungan hormat Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo, Megat Ardian Wira Mohd Aminuddin (kiri), di Bangunan Baitulmakmur II, di Petra Jaya hari ini.

PETRA JAYA: AirBorneo menyasarkan pengembangan ke destinasi global selepas 2029, susulan fasa peluasan berperingkat yang bermula dengan laluan domestik dan serantau dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata pembangunan AirBorneo dirangka secara berfasa bagi memastikan pertumbuhan syarikat penerbangan itu selari dengan keupayaan operasi, perolehan pesawat dan keperluan pasaran.

“Selepas dua tahun, kita akan melihat AirBorneo bergerak ke peringkat serantau. Bermula 2027 hingga 2029, itu adalah fasa pengembangan kedua. Selepas tempoh itu, apabila syarikat sudah stabil, tidak mustahil AirBorneo boleh terbang ke destinasi global,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas kunjungan hormat Ketua Pegawai Eksekutif Air Borneo, Megat Ardian Wira Mohd Aminuddin, di Bangunan Baitulmakmur II, di sini hari ini.

Karim berkata, antara destinasi jangka panjang yang sering disebut oleh kepimpinan negeri termasuk Jeju di Korea Selatan, selain kemungkinan laluan ke Jepun, China dan negara Asia Timur lain, bergantung kepada keupayaan armada serta kelulusan pihak berkaitan.

Menurutnya, peluasan laluan antarabangsa memerlukan perancangan rapi termasuk perolehan pesawat bersaiz lebih besar, lesen antarabangsa serta kelulusan lembaga pengarah dan kerajaan negeri.

“Industri penerbangan tidak boleh berkembang secara tergesa-gesa. Tidak ada gunanya membeli banyak pesawat jika tiada destinasi. Semua ini perlu bergerak seiring, laluan, pesawat dan pengurusan,” katanya.

Karim turut menegaskan pendekatan kerajaan negeri terhadap AirBorneo berbeza berbanding syarikat penerbangan komersial biasa, dengan menekankan peranan strategik syarikat itu sebagai infrastruktur negeri.

“Bagi Sarawak, pesawat yang masuk ke negeri ini kita anggap sebagai infrastruktur, sama seperti jambatan. Pulangan pelaburan bukan semata-mata keuntungan dalam akaun syarikat, tetapi kesan lebih besar kepada pelancongan dan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata, sektor pelancongan Sarawak merekodkan hasil sebanyak RM12.6 bilion bagi tempoh setahun, dengan perbelanjaan pelancong memberi manfaat langsung kepada industri perhotelan, pengangkutan, perniagaan dan kraftangan tempatan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo, Megat Ardian Wira Mohd Aminuddin, berkata hala tuju jangka panjang syarikat penerbangan itu adalah untuk membina sebuah organisasi yang berdaya tahan, mampan dan berteraskan Sarawak.

“Keutamaan kami adalah berkhidmat kepada komuniti, memperkukuh hubungan serantau dan membina sebuah syarikat penerbangan yang kukuh untuk jangka panjang. Semua perancangan akan dilaksanakan secara berperingkat dan tertakluk kepada kelulusan lembaga pengarah,” katanya.

Megat Ardian berkata, pengembangan laluan antarabangsa akan dipandu oleh keperluan rangkaian penerbangan, kesiapsiagaan armada serta kemampuan operasi, dengan tumpuan awal kepada pasaran Asia Tenggara sebelum melangkah lebih jauh.

AirBorneo ketika ini masih berada di peringkat awal operasi, namun kerajaan negeri yakin pendekatan berfasa serta sokongan strategik akan membolehkan syarikat penerbangan itu berkembang sebagai kebanggaan Sarawak dalam tempoh jangka panjang.

Oleh Shahrul Qaizat

Continue Reading

Previous: AirBorneo disasar jadi rakan penerbangan rasmi Sukan SEA 2027 di Sarawak
Next: Kakitangan dan perantis Sarawak Metro sertai program lampiran bersama Prasarana Malaysia Berhad

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.