Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • AirBorneo disasar jadi rakan penerbangan rasmi Sukan SEA 2027 di Sarawak
  • TEMPATAN

AirBorneo disasar jadi rakan penerbangan rasmi Sukan SEA 2027 di Sarawak

Utusan Sarawak 6 hours ago
DATO Sri Abdul Karim Rahman Hamzah ketika sidang media selepas kunjungan hormat Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo, Megat Ardian Wira Mohd Aminuddin di Bangunan Baitulmakmur II, Petra Jaya hari ini.

PETRA JAYA: AirBorneo disasar untuk menjadi rakan penerbangan rasmi Sukan SEA 2027, khususnya bagi acara yang berlangsung di Sarawak, sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan negeri memperkukuh sokongan logistik dan pengangkutan bagi temasya sukan serantau berkenaan.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata hasrat itu telah disuarakan kepada pihak berkaitan di peringkat kebangsaan termasuk Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh ketika mesyuarat penyelarasan penganjuran Sukan SEA sebelum ini.

“Walaupun AirBorneo pada ketika itu masih belum beroperasi sepenuhnya, saya telah menyuarakan permintaan supaya AirBorneo dipertimbangkan sebagai salah satu syarikat penerbangan rasmi, sekurang-kurangnya bagi acara yang diadakan di Kuching dan Sarawak,” katanya pada sidang media selepas kunjungan hormat Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo di Bangunan Baitulmakmur II, di sini hari ini.

Karim berkata, Sarawak bakal menjadi lokasi utama penganjuran Sukan SEA 2027 termasuk majlis pembukaan, justeru penyertaan AirBorneo dilihat penting sebagai simbol kebanggaan negeri selain menyokong pergerakan kontinjen dari negara-negara Asia Tenggara.

Tambah beliau, walaupun sebahagian pesawat jet AirBorneo dijangka masih dalam fasa perancangan ketika temasya itu berlangsung, penggunaan pesawat melalui penerbangan sewaan dengan penjenamaan AirBorneo tetap boleh direalisasikan.

“Sekurang-kurangnya walaupun pesawat itu belum dijadualkan untuk penerbangan komersial, ia boleh digunakan secara charter dengan logo AirBorneo untuk membawa kontinjen dari negara-negara Asia Tenggara yang menyertai Sukan SEA,” katanya.

Mengulas lanjut, Karim berkata permintaan tersebut turut melibatkan penyiaran rasmi temasya berkenaan, dengan kerajaan negeri berharap stesen penyiaran Sarawak, TVS, dapat memainkan peranan utama.

“Bagi acara sebesar Sukan SEA, permintaan Sarawak perlu diberi perhatian kerana kerajaan negeri menanggung separuh daripada kos penganjuran yang mencecah RM700 juta,” katanya sambil menambah kerajaan negeri telah memperuntukkan RM350 juta bagi menjayakan temasya itu.

Beliau berkata pelaburan kerajaan negeri dalam acara berskala besar bukan semata-mata untuk pulangan kewangan langsung, sebaliknya sebagai pelaburan infrastruktur dan ekonomi jangka panjang.

“Pesawat yang masuk ke Sarawak kita anggap sebagai infrastruktur, sama seperti jambatan. Pulangan sebenar bukan pada keuntungan syarikat penerbangan, tetapi kepada industri pelancongan, perhotelan, pengangkutan dan perniagaan tempatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo, Megat Ardian Wira Mohd Aminuddin, berkata pihak pengurusan komited untuk menyokong inisiatif negeri selaras dengan kemampuan dan fasa pertumbuhan syarikat.

“Kami memberi keutamaan kepada khidmat kepada komuniti, mengukuhkan hubungan serantau serta membina sebuah syarikat penerbangan yang berdaya tahan dan mampan, dengan Sarawak sebagai teras,” katanya.

Beliau berkata sebarang penglibatan dalam acara berskala besar seperti Sukan SEA akan dipertimbangkan berdasarkan keperluan operasi dan kelulusan lembaga pengarah.

Oleh Shahrul Qaizat

Continue Reading

Previous: AirBorneo rancang guna pesawat jet bagi peluasan laluan, jumlah armada masih dibincang
Next: AirBorneo sasar pengembangan global selepas 2029

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.