
PETRA JAYA: Persatuan Anak Kabong (PAK) terus memperkukuhkan ukhuwah dalam kalangan ahlinya melalui penganjuran Majlis Sambutan Israk dan Mikraj yang berlangsung di Surau Darus Sakinah, Jalan Astana di sini, pagi tadi.
Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Pengerusi PAK, Nor-E-Fadzwie Salleh. Beliau yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Borneo (BDC) dalam ucapannya menekankan kepentingan menghayati peristiwa agung Israk dan Mikraj sebagai panduan hidup umat Islam.
Menurut jurucakap penganjur, program tahunan ini bertujuan untuk menyemarakkan syiar Islam di samping menjadi platform terbaik bagi anak-anak kelahiran Kabong yang menetap di sekitar bandar raya ini untuk berkumpul dan beramah mesra.

”Kehadiran kira-kira 50 ahli PAK pada majlis kali ini membuktikan komitmen tinggi ahli dalam menyokong aktiviti persatuan. Walaupun diadakan secara sederhana, pengisiannya tetap memberi impak besar kepada pembangunan rohani ahli,” katanya.
Acara dimulakan dengan ceramah khas yang disampaikan oleh penceramah jemputan, Ustaz Wan Mohd Hanif Shaifuddin Wan Ahmad.
Dalam perkongsiannya, beliau mengupas hikmah di sebalik perjalanan malam Rasulullah SAW serta kewajipan solat lima waktu yang menjadi teras kekuatan mukmin.
Para hadirin dilihat khusyuk mendengar kupasan ilmu yang disampaikan, yang mana intipati ceramah tersebut menekankan aspek disiplin diri dan ketaatan kepada pencipta dalam menghadapi cabaran dunia moden hari ini.
Selesai sesi ceramah, majlis diteruskan dengan jamuan ringan yang disediakan secara gotong-royong. Sesi ini memberi peluang kepada ahli-ahli persatuan untuk berinteraksi dan bertukar pandangan mengenai aktiviti-aktiviti kebajikan yang bakal dilaksanakan pada masa akan datang.
Penganjuran majlis ini secara tidak langsung berjaya mencapai objektifnya dalam memastikan tradisi keagamaan terus dipelihara, sekali gus mempertautkan silaturahim sesama anak jati Kabong yang berada di perantauan.
Oleh Adi Safarman