
PADAWAN: Kampung Sadir di hulu Padawan berpotensi menjadi destinasi pelancongan popular apabila projek Jalan Temong-Tepoi-Sadir siap dilaksanakan, membuka laluan terus ke kawasan itu dan memudahkan pelancong mengunjungi kampung berkenaan.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Dr Jerip Susil berkata, Fasa Pertama projek yang merangkumi kira-kira lima kilometer sehingga ke Kampung Sibakar kini sedang dilaksanakan, manakala keseluruhan laluan sejauh sembilan kilometer dijangka membuka akses lebih mudah ke Kampung Sadir.
“Projek jalan sepanjang sembilan kilometer ini berjalan lancar dan selepas siap kelak, ia dijangka meningkatkan daya tarikan Kampung Sadir sebagai destinasi pelancongan.
“Selain itu, ia juga mampu memberi peluang ekonomi kepada penduduk melalui sektor pelancongan, sambil menonjolkan keindahan flora dan fauna tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Makan Durian 2026 di dewan komuniti Kampung Sadir di sini, hari ini.

Dr Jerip, yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan ADUN Mambong, berkata dua projek jalan tambahan di kawasannya kini berada pada peringkat tender.
Projek berkenaan termasuk Jalan Biya Jaber berjumlah RM24 juta yang dibiayai Kerajaan Persekutuan dan Jalan Kampung Sapit berjumlah RM20 juta di bawah Agensi Pembangunan Bersepadu Kuching Raya (GKCDA).
Selain itu, beliau turut mengumumkan peruntukan RM50,000 untuk Pesta Makan Durian, dengan harapan festival itu dapat dianjurkan dalam skala lebih besar pada tahun hadapan bagi memberi peluang kepada penduduk tempatan menjual hasil durian mereka.
Oleh Adele Rissa