MIRI: Sembilan rumah ibadat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Telang Usan menerima cek dana Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) membabitkan jumlah keseluruhan RM665,000.
Rumah ibadat tersebut ialah Gereja St. Peter Long Ikang, Gereja St.Paul Long Aton, Gereja St. Anthony Long Nuah, Peringkatan Warisan Suku Kayan Long Tebangan, Sekolah Teologia Beto Long Lama, Blessed Sacrament Church , BEM Long Tujang, BEM Long Jenalong, dan Tanah Perkuburan Kristian dan Jirat Cina Long Akah.
Cek tersebut disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau dalam satu majlis ringkas yang diadakan di sebuah hotel di sini, semalam.
Dalam ucapan ringkasnya, Dennis berkata, Kerajaan Sarawak dibawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sentiasa mengambil berat terhadap semua kaum dan agama di negeri ini.
“Pembentukan UNIFOR untuk agama-agama lain bukti yang amat jelas dan kukuh yang tidak dapat dinafikan bahawa Kerajaan Sarawak yang ada sekarang benar-benar ingin menjaga agama-agama lain dan ini seterusnya membukti bahawa kebebasan beragama di negeri ini jelas,” katanya.
Beliau merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Kerajaan Sarawak khususnya kepimpinan Abang Johari yang terus memperkembangkan fungsi UNIFOR ini.
“Ini jelas dilihat, apabila Kerajaan Sarawak terus menyalurkan peruntukan kewangan kepada UNIFOR yang mana pada peruntukan awal permulaan sekitar RM20 juta dan kini mencecah lebih RM50 juta,” katanya.
Oleh Liong Chai Ling