
KAPIT: Sebuah lori pengangkut tanah dilaporkan terbakar kira-kira 30 peratus, melibatkan bahagian enjin dan kepala lori, dalam satu kejadian kebakaran di Jambatan Sungai Kapit pada awal pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 4.40 pagi.
Menurutnya, sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit segera dikerahkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi pemadaman.

“Setibanya di lokasi, komander operasi mendapati kebakaran melibatkan sebuah lori pengangkut tanah yang terbakar di bahagian enjin dan kepala lori.
“Pasukan bomba kemudian menjalankan kerja pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kebakaran tersebut tidak melibatkan sebarang mangsa atau kecederaan.
Oleh Tarani Lanting