KUCHING: Presiden Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (SABATI), Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang menghulur sumbangan Kit Pencegahan Covid 19 serta sumbangan derma kepada beberapa hospital dan NGO di pejabat SABATI, Wisma Sultan Tengah, Petra Jaya Kuching, semalam.
Sumbangan yang diberikan berupa peralatan yang diperlukan oleh petugas kesihatan untuk memudahkan mereka menjalankan tugas mencabar sewaktu pandemik Covid-19 ini seperti Personal Protective Equipment (PPE), walkie talkie, working shoes (clog), katil, tilam, bantal, meja, kabinet, alat penghawa dingin, CCTV dan beberapa keperluan asas yang lain.
Antara hospital yang menerima sumbangan tersebut ialah Hospital Umum Sarawak, Hospital Miri dan Hospital Bintulu manakala 190 penghuni di Hospital Sentosa pula menerima sumbangan keperluan asas.
Presiden SABATI turut prihatin dengan pelatih dan petugas di beberapa rumah kebajikan yang menjaga OKU, anak yatim serta orang tua dan untuk tujuan ini, SABATI akan mengagihkan sebanyak 30,000 pelitup muka, 7,000 sarung tangan, 800 cecair pembasmi kuman dan 70 set alat pengesan suhu kepada 55 PPDK di seluruh Sarawak.
Tidak terkecuali, SABATI turut memberi sumbangan kepada NGO yang menjaga rumah anak yatim, rumah orang tua, PERKATA, Sarawak Cheshire Home, Kuching Austistic Association, Sarawak Society for the Blind, Sarawak Society for the Deaf dan beberapa NGO yang telah di kenal pasti.
SABATI merupakan sebuah pertubuhan sukarela yang diwujudkan untuk menjalankan kerja amal kebajikan sejak 38 tahun yang lalu dengan fokus utama membantu golongan kurang upaya, anak istimewa, anak yatim, warga emas, ibu tunggal dan golongan yang kurang berkemampuan.
Selain itu juga, SABATI turut membantu golongan yang ditimpa musibah seperti kebakaran, banjir atau bencana alam yang lain.
Harapan SABATI agar sumbangan ini dapat membantu mencegah penularan wabak Covid 19 dan mengingatkan orang ramai untuk terus mematuhi setiap garis panduan (SOP) yang dikeluarkan oleh kerajaan demi kesejahteraan diri, keluarga dan masyarakat sekelilling.
Turut hadir, Setiausaha Kehormat SABATI, Datin Dr. Zaliha Abdullah, Bendahari Kehormat SABATI, Datin Siti Shorgayah Ahmad Zaidin dan ahli-ahli Exco SABATI. –