
SIBU: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Sibu dengan kerjasama SKUAD Antidadah Sibu (SKUAD) telah menganjurkan satu perlawanan persahabatan pickleball menentang pasukan Sarawak Energy Berhad Wilayah Sibu (SEB) di Gelanggang Pickleball SEB, petang semalam.
Perlawanan itu bertujuan untuk memupuk semangat kesukanan dan gaya hidup sihat dalam kalangan penjawat awam, sukarelawan dan syarikat berkaitan kerajaan.

Selain itu, ia berfungsi sebagai platform untuk memperkukuh jaringan kerjasama strategik antara AADK bersama pemegang taruh penting di Daerah Sibu.
Keunikan penganjuran itu dapat dilihat melalui komposisi ahli SKUAD yang terdiri daripada gabungan pelbagai agensi kerajaan dan badan korporat serta badan berkanun.
Antara yang terlibat dalam pasukan SKUAD termasuklah wakil daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), SMK Bukit Lima, SMK Rosly Dhoby, Telekom Malaysia (TM) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Program itu membuktikan komitmen AADK dalam menggembleng tenaga pelbagai agensi untuk menyokong aspirasi Dadah Terkawal 2030, bukan sahaja melalui penguatkuasaan dan pendidikan, malah melalui aktiviti riadah yang membina hubungan baik sesama agensi.
Turut hadir wakil Ketua Daerah AADK Daerah Sibu Mohamad Farizal Mohamad Buang, Jabu Ngumbang, Pengurus Wilayah Tengah SEB, Pengerusi Jawatankuasa SKUAD Raden Khairulzaman Raden Bestari, Timbalan Pengerusi SKUAD Mohamad Mostapha Lasot, kakitangan dari pejabat AADK Daerah Sibu serta SEB dan ahli SKUAD.
Oleh Akun Giman