AMMAN: Raja Jordan, Raja Abdullah II semalam berkata penyelesaian dua negara adalah satu-satunya cara untuk mengakhiri konflik antara Palestin dan Israel.
“Konflik Palestin-Israel adalah satu-satunya konflik yang dimulakan dengan penubuhan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masih berlanjutan hingga ke hari ini,” Agensi Anadolu (AA) memetik ucapan Abdullah ketika berucap pada sesi Perhimpunan Agung PBB ke-75.
“Satu-satunya jalan menuju perdamaian yang adil dan kekal adalah dengan menubuhkan negara Palestin yang berdaulat dan bebas berdasarkan sempadan 4 Jun 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara serta hidup dalam keamanan dan kedamaian di samping Israel,” katanya.
Raja Abdullah juga menyatakan pengakhiran konflik tidak akan berlaku tanpa mengekalkan Baitulmaqdis sebagai bandar keamanan bagi seluruh umat manusia.
Mesyuarat Perhimpunan Agung PBB ke-75 bermula 15 September dan dijadualkan berakhir pada 29 September.
Wartawan Amerika Syarikat (AS) Andre Vltchek pada Selasa ditemukan maut dalam kereta sewa sejurus tiba di Istanbul, Turki, lapor Agensi Anadolu, memetik sumber keselamatan.
Andre Vltchek didapati tidak sedarkan diri oleh isterinya Rossie Indira Vltchek ketika dalam perjalanan ke sebuah hotel di daerah Karakoy.
Menurut sumber, Indira Vltchek menghubungi petugas perubatan yang kemudian mengesahkan suaminya sudah meninggal dunia.
Pihak berkuasa Istanbul membuka siasatan bagi mengenal pasti punca kematian.
Vltchek, wartawan AS kelahiran Soviet pernah membuat liputan di beberapa zon perang dan konflik termasuk di Iraq, Peru, Sri Lanka, Bosnia, Rwanda, Syria, Congo dan Timur Leste.-AFP