Kebakaran hutan Indonesia: Lebih 22,595 hektar masih dalam operasi pemadaman

Facebook
WhatsApp
SEORANG lelaki menggunakan dahan pokok untuk cuba memadamkan kebakaran tanah gambut di Palangkaraya, Kalimantan Tengah, pada 22 Oktober 2026. Foto AFP

JAKARTA, 24 Oktober: Indonesia meneruskan operasi memadam kebakaran merentasi kira-kira 22,595 hektar hutan dan tanah, dengan Kalimantan Tengah merupakan kawasan paling besar terjejas.

Pemangku Ketua Pusat Data, Penerangan dan Komunikasi Bencana Badan Pengurusan Bencana Negara (BNPB) Berton Panjaitan berkata kawasan itu masih dalam respons setakat 22 Oktober lepas merangkumi 21,404 hektar di enam wilayah keutamaan di pulau Sumatera dan Kalimantan, dan 1,243.70 hektar lagi di tempat lain, termasuk Jawa, Sulawesi dan Maluku.

“Di Kalimantan, kawasan yang masih diberi perhatian mencecah kira-kira 18,973 hektar merangkumi kira-kira 16,097 hektar di Kalimantan Tengah, 1,506 hektar di Kalimantan Selatan dan 1,370 hektar di Kalimantan Barat.

“Di Sumatera, kawasan yang masih dalam tindakan mencecah kira-kira 2,431 hektar, merangkumi kira-kira 2,050 hektar di Sumatera Selatan, 379 hektar di Jambi dan dua hektar di Riau,” katanya dalam satu kenyataan.

Berton berkata gabungan 71,878 anggota dan 54 helikopter telah dikerahkan untuk menyokong operasi memadam kebakaran di enam wilayah keutamaan yang terdiri daripada Sumatera Selatan, Riau dan Jambi di Sumatera, dan Kalimantan Tengah, Selatan dan Barat di bahagian Indonesia di Borneo.

Terdahulu, Berton berkata Indonesia sedang menilai bantuan antarabangsa melibatkan peralatan dan teknologi canggih yang tidak tersedia di dalam negara, sambil menyambut baik tawaran daripada negara lain, lapor agensi berita negara Antara pada Khamis.

Secara berasingan, agensi berita itu melaporkan bahawa polis Indonesia telah mendaftarkan 386 laporan membabitkan kes kebakaran hutan dan tanah, termasuk yang dikaitkan dengan 22 syarikat yang bergabung dengan pelaburan asing.

Ketua Polis Negara Jeneral Suyudi Ario Seto dipetik sebagai berkata, laporan itu merangkumi 286 kes membabitkan individu dan 100 membabitkan syarikat, dengan 243 individu dan 13 perbadanan dinamakan suspek, manakala polis telah mengesyorkan pembatalan permit dalam 23 kes korporat.- Bernama